05 April 2012

Dua gerila pemisah Thai ditangkap

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GAMBAR fail menunjukkan lokasi pusat beli-belah dan Hotel Lee Gardens Plaza yang rosak akibat letupan bom di Hatyai pada Sabtu lalu.

BANGKOK – Polis menyatakan dua anggota kumpulan pemisah Islam ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pengeboman di selatan Thailand pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Thailand, Jeneral Priewpan Damapong semalam berkata, dua suspek itu adalah antara 20 anggota pemisah yang dipercayai bertanggungjawab melakukan serangan bom kereta ke atas Hotel Lee Gardens Plaza di bandar Hatyai pada Sabtu lepas.

Sebanyak tiga orang terbunuh manakala lebih 200 yang lain cedera dalam serangan itu.

Polis turut percaya bahawa serangan tersebut memiliki kaitan dengan pengeboman pada hari yang sama di wilayah Yala.

Siri pengeboman di Yala meragut nyawa lebih 11 orang.

Lebih 5,000 orang terbunuh di tiga wilayah selatan Thailand sejak gerakan pemisah Islam tercetus pada 2004.

Kejadian letupan bom itu menandakan peningkatan serangan kumpulan tersebut.

Penentangan yang berlaku di selatan Thailand telah meragut nyawa ribuan penduduk Thailand sejak tahun 2004.

Serangan bom atau tembakan yang berlaku hampir pada setiap hari disasarkan terhadap askar dan orang awam sama ada penganut Islam atau Buddha.

Ketua Tentera Thailand, Jeneral Prayut Chan-O-Cha menyatakan sebelum ini terdapat lebih 3,000 militan Islam terlibat dalam keganasan di selatan Thailand.

Militan terbabit dipercayai bukan sebahagian daripada gerakan jihad global tetapi menentang apa yang didakwa mereka sebagai diskriminasi turun-temurun terhadap etnik Melayu Islam yang dilakukan kerajaan Thai.

Gabenor Songkhla, Grisada Boonrach kelmarin menawarkan ganjaran 500,000 baht (RM49,196) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan setiap seorang daripada dua suspek yang terlibat dalam letupan bom di hotel tersebut. – Agensi

Tiada ulasan: