05 April 2012

Sederet 3 kedai hangus teruk

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA TINGGI – Sederet tiga kedai, sebuah pejabat, sebuah rumah sewa dan sebuah asrama pekerja terbakar dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari di Kampung Makam dekat sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kota Tinggi, Mohd Ismail Abd Latip berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mengenai kebakaran tersebut kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Menurutnya, sejurus itu dua jentera dan sebuah kenderaan utiliti bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Pada awalnya anggota bomba mengalami kesukaran menjalankan operasi memadam api berikutan angin kencang dan keadaan cuaca yang panas ketika itu.

“Selain itu bahan-bahan yang terdapat di dalam bangunan itu seperti kekabu, kayu, barang-barang stor dan bangunannya yang separuh kayu dan batu itu menyebabkan api merebak dengan pantas.

“Walau bagaimanapun api berjaya dikawal kira-kira 35 minit kemudian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Ismail berkata, kesemua barangan di dalam premis yang terlibat musnah terbakar termasuklah sebuah kereta Pajero dan sebuah lori satu tan. Walau bagaimanapun rumah, pejabat dan asrama terbabit tidak terjejas teruk

“Tiga kedai yang terjejas teruk itu adalah kedai bantal, kedai makanan serta sebuah kedai menjual peralatan logam.Nilai keseluruhan kerugian dianggarkan kira-kira RM480,000.

“Ketika kejadian, tujuh orang sedang bekerja di premis tersebut, walau bagaimanapun kesemua mereka terselamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Mangsa cerita detik cemas

“NASIB baik ketika kejadian saya telah keluar, jika tidak pasti saya akan mati kerana waktu-waktu sebegini saya akan tidur di dalam kedai untuk berehat,” kata Sofckul, 36, antara pekerja yang bernasib baik dalam kejadian kebakaran di Kampung Makam, dekat sini, semalam.

Sofckul berkata, kira-kira jam 12.30 tengah hari dia ke Balai Polis Kota Tinggi untuk menghantar pesanan makanan dan ketika pulang alangkah terkejutnya dia apabila mendapati kedai musnah terbakar.

“Syukur ketika kejadian saya tiada di dalam kedai, jika tidak pasti saya akan jadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai bantal, Jehan Zada, 42, berkata, ketika kejadian dia yang berseorangan di kedainya terlihat litar pintas sebelum api yang mulanya kecil merebak menjadi besar.

“Saya mula panik dan minta tolong daripada kedai sebelah apabila api dari litar pintas tersebut mula membakar kedai saya,” katanya yang telah berniaga selama setahun di situ.

Bagi pekerja kedai menjual peralatan logam, Nur Shuhada Mahat, 22, ketika kejadian dia sedang melakukan tugasan bersama dua pekerja serta pemilik kedai tersebut.

“Kami terkejut apabila pemilik kedai bersebelahan meminta tolong dan memberitahu kedainya terbakar.

“Ketika kami keluar api sudah mula marak membakar kedai sebelah. Malah bos kami yang ketika itu mahu menolong dengan menggunakan pemadam api turut tidak mampu berbuat apa-apa apabila melihat api yang marak itu.

“Mujurlah kami sempat mengalihkan kenderaan kami yang diletakkan di hadapan kedai tersebut,” katanya.

Naik motosikal ke balai bomba

PEKERJA bengkel kimpalan yang terletak bertentangan dengan kedai tersebut, Nazli Mohamad, 25, berkata, setelah menyedari kejadian, dia bergegas menaiki motosikal ke balai bomba untuk melaporkan kejadian berkenaan.

“Saya lihat asap dan api dari tingkap bengkel. Setelah mendapati berlakunya kebakaran saya terus menghubungi bomba namun gagal. Lalu tanpa berfikir panjang saya segera menaiki motosikal ke balai untuk melaporkan kejadian itu.

“Setelah tiba, pihak bomba memaklumkan telah menghantar jentera ke tempat kejadian. Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya yang baru sehari memulakan kerja di bengkel tersebut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: