05 April 2012

Rugi RM100,000 kerana batu delima merah

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

CHUKAI – Angkara dipukau, seorang warga emas lelaki kerugian RM100,000 apabila mengeluarkan wang berkenaan daripada bank dan menyerahkannya kepada tiga lelaki yang memberikannya sebiji batu delima berwarna merah dalam bekas tembaga, yang didakwa bernilai jutaan ringgit dalam kejadian di Geliga dekat sini, Ahad lalu.

Tiga suspek terbabit dipercayai memperdaya mangsa dengan memberikan batu delima itu yang kononnya boleh menyembuhkan pelbagai penyakit untuk meminjam sementara wang mangsa.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, mangsa, 70, dari Felda Seberang Tayor, Air Putih yang baru mengeluarkan wang di sebuah bank di Taman Chukai Utama menyerahkan wang dalam jumlah besar berkenaan kepada ketiga-tiga suspek di sebuah gerai makan di Geliga setelah dipercayai dipukau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abd Marlik Hakim Johar berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan berjanji akan memulangkan semula wang yang diberikan kepada mereka selepas waktu Asar.

“Selepas wang diserahkan, ketiga-tiga suspek beredar dan menuju ke Masjid Geliga. Sebelum itu suspek berjanji akan bertemu pengadu semula selepas waktu Asar untuk memulangkan semula wang yang dipinjamkan dan mengambil semula batu delima yang bernilai jutaan ringgit berkenaan.

“Pun begitu selepas waktu Asar berlalu dan setelah lama menunggu kelibat ketiga-tiga suspek tidak kunjung tiba,” katanya.

Berikutan itu mangsa yang merasakan dirinya tertipu kemudiannya membuat laporan polis pada jam 6.59 petang di Balai Polis Chukai dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Jadi kita minta orang awam agar lebih berhati-hati dan jangan mudah percaya dan terpengaruh dengan orang yang tidak dikenali.

"Selain itu, jangan terpengaruh dengan pulangan lumayan kerana tiada suatu perkara yang boleh memberi untung banyak dan secara serta-merta melainkan ia adalah penipuan.

“Kes-kes penipuan bukan sahaja melibatkan mangsa dalam kalangan orang kampung, malah golongan berpendidikan juga banyak yang tertipu ekoran tawaran luar biasa lumayan. Dalam dunia moden hari ini, penipuan sama juga banyak berlaku termasuk menerusi penggunaan internet. Jadi jangan mudah percaya,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: