05 April 2012

Rumah jadi makmal dadah

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dan wanita ditahan setelah pihak polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM500,000 dalam serbuan di sebuah rumah yang turut dijadikan makmal pemprosesan pil khayal.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di Jalan Bakariah, Muar, 30 Mac lalu.

“Serbuan dijalankan hasil risikan polis dan maklumat dari orang awam pada kira-kira jam 1 pagi pada 30 Mac lalu.

“Dalam serbuan itu pihak polis berjaya menemui dan merampas pelbagai jenis dadah disyaki jenis ecstasy, ketamin, heroin dan syabu.

“Selain itu kita juga turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk mencetak pil khayal,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, hasil siasatan mendapati lokasi serbuan berkenaan telah beroperasi sejak enam bulan lalu bagi mengedarkan bekalan dadah di sekitar Muar, Ledang dan Melaka.

“Kita anggarkan rampasan ini sekiranya diedarkan ia boleh digunakan oleh kira-kira 90,000 penagih dadah,” katanya.

Katanya, beliau percaya tangkapan yang dibuat membolehkan pihak polis menangkap lebih ramai pembekal dadah di negeri ini dan pihaknya sedang giat menjalankan pelbagai operasi bagi membanteras gejala penyalahgunaan dadah.

“Hasil kajian kita mengenai pelbagai kes keganasan seperti ragut, samun dan bunuh banyak dilakukan oleh penagih dadah, jadi kita akan memberi tumpuan utama bagi menangkap penagih dadah agar kadar jenayah dapat dikurangkan.

“Pada 29 dan 30 Mac lalu kita juga telah jalankan operasi khas dan telah menahan 151 penagih dadah dan lima daripadanya didakwa mengikut Seksyen 39B.

“Sepanjang operasi ini dijalankan, pihak polis berjaya mengurangkan jenayah sebanyak 38 kes sehari dan ini menunjukkan penurunan kes yang amat tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Mokhtar turut menyeru orang ramai agar memaklumkan kepada pihak polis sekiranya terdapat ahli keluarga yang menyalahgunakan dadah supaya mereka dapat dirawat dan tidak melakukan jenayah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: