05 April 2012

Apa usaha atasi lambakan guru sains, matematik

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 April: Menteri Pelajaran diminta menyatakan apakah perancangan kementerian untuk menangani masalah lambakan guru subjek Sains dan Matematik di seluruh negara.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) juga meminta menteri berkenaan menyatakan apakah pelan kontigensi untuk memastikan guna tenaga guru-guru ini masih dapat dimanfaatkan oleh para pelajar dan kementerian.

Beliau mengemukakan pertanyaan itu bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini yang bermula jam 10.00 pagi.

Berikut ialah soalan-soalan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli Parlimen PAS, hari ini.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [Kuala Krai] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan usaha tebatan banjir yang dilakukan bagi mengatasi banjir daripada Sungai Durian di jalan utama Kuala Krai ke Kota Bharu.

DatukTaib Azamudden Md Taib [Baling] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah rancangan Kerajaan untuk mengelakkan negara daripada terus mengalami defisit pada masa akan datang.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan adakah Kementerian masih mempunyai perancangan untuk membina lebuh raya antara Kota Bharu-Kuala Krai.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan kadar celik huruf (literasi) dan numerasi mengikut negeri di seluruh negara.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan keluasan sawah padi terbiar di negeri Kelantan yang berjaya dipulihkan dan apakah halangan-halangan yang dihadapi pihak Kerajaan dalam menjayakan usaha ini.

Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan apakah perancangan Kementerian untuk menangani masalah lambakan guru subjek Sains dan Matematik di seluruh negara dan apakah pelan kontigensi untuk memastikan guna tenaga guru-guru ini masih dapat dimanfaatkan oleh para pelajar dan Kementerian.

Mohd. Abdul Wahid Endut [Kuala Terengganu] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan status terkini pembinaan Hospital baru untuk Daerah Dungun, Daerah Marang dan Daerah baru, Kuala Nerus.

Nasharudin Mat Isa [Bachok] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah benar terdapat pegawai-pegawai kanan Kerajaan termasuk yang bertaraf JUSA C hingga JUSA A yang berada dalam 'pool' JPA begitu lama yang tidak diserapkan ke dalam jabatan Kerajaan tertentu dan sekiranya ya, berapakah jumlah mereka dan apakah tindakan yang bakal diambil.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan:-
(a) bilakah tarikh sebenar Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcement System) akan dilaksanakan; dan
(b) nyatakan nama dua syarikat yang sudah dimuktamadkan untuk mengendalikan AES dan nyatakan juga bentuk model kewangan yang telah dipersetujui antara Kerajaan dan dua syarikat tersebut.

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah status pertukaran saham dan CCF di antara MAS dan AirAsia.

Harakah Daily

Tiada ulasan: