05 April 2012

Bot kayu sorok rokok ditahan

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BUKIT MALUT - Cubaan menyeludup rokok pelbagai jenama ke negara jiran gagal apabila dua warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dalam satu pemeriksaan di tengah laut.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata, anggota bot ronda yang sedang membuat rondaan di perairan Langkawi hingga ke Kuala Perlis, terserempak dengan bot kayu dinaiki seorang lelaki berusia 35 tahun dan wanita be-rusia 31 tahun pada jam 12.08 tengah hari kelmarin.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 85 karton rokok pelbagai jenama diletakkan dalam tiga kotak dan dua bungkusan plastik hitam. Bot dan mereka kemudiannya dibawa ke Jeti Perikanan Bukit Malut untuk siasa-tan lanjut,” katanya.

Menurutnya, dianggarkan nilai pasaran rokok yang dirampas mencecah RM1,000 manakala nilai cukai yang ditafsirkan sekitar RM8,500.

“Bot kayu itu difahamkan dari Tanjung Rhu dan menuju ke sempadan perairan Malaysia-Thailand pada kedudukan lebih kurang 1.97 batu nautika dari Pulau Gasing. Kedua-dua warga Thailand itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah,” katanya.

Abdul Rahim berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam iaitu cubaan menyeludup rokok.

Menurutnya, itu adalah tangka-pan kedua membabitkan cubaan seludup rokok di wilayah berkenaan tahun ini.

“Tahun lalu, Maritim Langkawi berjaya merekodkan tujuh kes dan penyeludupan rokok dipercayai akan meningkat kerana permintaan yang tinggi di Thailand,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: