17 Mei 2012

30 kereta potong musnah, rugi RM80,000

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Sebanyak 30 kereta potong musnah dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Permatang Taman Desa Jaya, di sini, kira-kira jam 2.15 petang, semalam.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Roslee Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.23 petang dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

Menurutnya, kebakaran melibatkan longgokan kereta potong sehingga memusnahkan lebih kurang 30 kereta yang terlibat berhampiran bengkel membaiki kenderaan.

“Kebakaran berkenaan dikenal pasti berpunca daripada kebakaran lalang akibat cuaca panas terik sehingga merebak ke longgokan kereta potong berhampiran.

“Siasatan awal mendapati kebakaran itu menyebabkan jumlah kerugian keseluruhan lebih kurang RM80,000,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Roslee berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 2.41 petang dan operasi tamat pada jam 5.11 petang.

Menurutnya, seramai 11 anggota bersama dua jentera terlibat termasuk daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru akibat tekanan air tidak kuat di kawasan berkenaan.

“Kita terpaksa mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru yang membawa tangki air selepas menghadapi masalah tekanan air rendah.

“Bagaimanapun kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dan operasi berjaya ditamatkan selepas lebih dua jam anggota kita bertungkus-lumus berusaha memadam kebakaran,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: