17 Mei 2012

Jangan benarkan program Irshad Manji - PPMM

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Mei: Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) membantah program Irshad Manji yang dikatakan akan dijalankan di Universiti Monash Bandar Sunway pada hari Jumaat 18 Mei 2012 antara jam 1 hingga 2 tengah hari yang bertajuk ‘ Moral Courage: Creating Space for Islam & Democracy’.

Pihak Universiti Monash melalui Mohamed Ismail pula menafikan ada seminar dianjurkan oleh Sekolah Sastera dan Sains Sosial pada Hari Jumaat 18 Mei 2012 tersebut.

Sebelum daripada ini usaha beliau untuk berceramah di Universiti Islam Antarabangsa juga telah gagal malah di Indonesia juga beliau tidak dialu-alukan.

“Selain tidak menghormati waktu solat Jumaat bagi orang Islam Irshad Manji dengan gahnya mengatakan lelaki Islam juga dialu-alukan hadir kerana solat Jumaat tersebut boleh dibuat bila-bila masa sahaja dan ia merupakan ciptaan manusia sebagaimana terdapat di dalam tweeter beliau,” kata Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (gambar).

Katanya, ia memberi gambaran bahawa program beliau adalah lebih penting daripada solat Jumaat.

Menurutnya, Irshad Manji mengaku sebagai seorang lesbian cuba mengenengah pendirian liberal beliau kepada masyarakat Malaysia.

“Ia juga seolah-olah cuba menjuarai isu kebebasan seks dan moral dan mahu menjadikan ia norma masyarakat Malaysia walaupun jelas bertentangan dengan agama Islam.

“Tulisan-tulisan Irshad Manji banyak yang mengelirukan dan tersasar dari Hukum Syarak. Malah acapkali dilihat sebagai mempertikai atau menghina agama Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, tegasnya PPMM mendesak kerajaan tidak membenarkan beliau meneruskan program tersebut dan meninggalkan Malaysia dengan kadar segera kerana ia boleh menjadi barah kepada pengamalan agama Islam di Malaysia.

Tegasnya lagi, perbuatan Irshad Manji yang jelas bertentangan dengan norma dan budaya Malaysia tidak dialu-alukan.

Tambahnya, PPMM dimaklumkan bahawa beberapa laporan polis telah dan akan dibuat oleh beberapa NGO Islam dan pihak yang lain bagi membantah program seumpama ini dan berharap pihak yang berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya berkaitan laporan tersebut.

“PPMM juga mendesak kerajaan agar memberi perhatian serius terhadap segala usaha yang menghakis kedaulatan dan kesucian Islam di Malaysia,” ujarnya.

Katanya, sejak kebelakangan ini pelbagai pihak sudah berani mengabaikan isu moral dan akhlak dan mengajurkan kebebasan diri secara mutlak.

Beliau berkata, hal yang sedemikian perlu diperbetulkan oleh semua pihak.

PPMM juga, ujarnya menyeru para ulama menyediakan hujah menyanggah tulisan-tulisan Irshad Manji secara ilmiah agar pembaca beliau tidak aka terkeliru dengan tulisan beliau dan diberi penerangan secukupnya mengenai keindahan agama Islam.

“PPMM juga mendesak Universiti Monash mengesahkan samada program tersebut akan diadakan di dalam premis universiti tersebut atau tidak samada dianjurkan oleh pihak Universiti ataupun pihak lain yang menggunakan kemudahan Universiti tersebut.

“Akhirnya PPMM mengajak semua masyarakat Islam agar berdoa supaya Irshad Manji akan diberikan hidayah oleh Allah swt dan kembali ke pangkal jalan,” katanya lagi.

Salimah desak halang Irshad Manji

Mengulas perkara yang sama, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) membantah sekeras-sekerasnya penganjuran kedatangan Irshad Manji seorang yang jelas menghina Islam dalam tulisan bukunya serta sikapnya yang ternyata merendah-rendah pandangan yang sudah disepakati ulama muktabar.

“Kami juga menolak kedatangan beliau untuk melancarkan bukunya kerana ia akan menimbulkan kekeliruan serta mencetus kemarahan umat Islam di negara ini.

“Bukunya yang mempunyai unsur-unsur yang membawa kefahaman yang sesat tidak dibenarkan disebar di negara ini,” kata Yang Dipertuanya, Datin Aminah Zakaria.

Katanya, Malaysia yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah dari kesepakatan rakyat di negara ini yang sepatutnya dihormati dan sebarang unsur yang mencabar kemulian Islam di negara ini hendaklah dihalang.

“Mengambil pendapat beliau dalam tweeternya yang menyatakan solat adalah ketetapan dari manusia bukan dari Allah, adalah jelas suatu penghinaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Salimah menggesa supaya pihak berkuasa bertindak melarang kehadiran beliau untuk melakukan pelancaran bukunya pada 18 Mei yang dijangka akan diadakan Monash Universiti Sunway.

“Kami ingin menegaskan bahawa pihak penganjuran sepatutnya sensitif dengan sentimen Islam di kalangan masyarakat Islam di negara ini setelah adanya pihak yang sering cuba menguji kesabaran umat Islam dengan membawa nilai dan amalan hidup yang songsang.

“Dengan menjemput orang seperti beliau sudah pasti merupakan usaha untuk mencabar sensistiviti masyarakat Islam di negara ini,” tegasnya.

Katanya, pihak berkuasa perlu menegaskan bahawa mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program yang melibatkan individu atau kumpulan dari luar hendaklah memberi garis panduan supaya hal-hal yang sensistif mengenai agama tidak dipermain-mainkan.

“Kami menyeru agar semua NGO Islam bersatu membantah kehadhiran dan pelancaran buku beliau dan mendesak agar penganjur membatalkan acara tersebut serte merta.

Harakah Daily

1 ulasan:

Unknown berkata...

Please do something! PUBLIC EVENT IN KL w/ Irshad Manji Sat, 2:00-3:30pm, 3rd floor, KL & Selangor Chinese Assembly Hall, 1 Jalan Maharajalela. https://www.facebook.com/zipublications