17 Mei 2012

Perjuangan membersihkan PRU Ke-13

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Bolehkah PRU Ke-13 akan datang berjalan dengan demokratik dan bersih dari segala penipuan? Ini pertanyaan dari ramai orang, terutama dari rakyat prihatin yang amat tinggi harapan mereka supaya PRU Ke-13 itu benar-benar adil dan bersih.

Namun perkembangan terkini menghantar isyarat bahawa PRU Ke-13 itu jauh dari yang diharapkan.

Tanda-tandanya:

a. Tuntutan Bersih 3.0 tidak mungkin ditunaikan dalam keadaan sekarang, di mana BN berhempas pulas untuk mempertahankan kuasa yang telah dinikmatinya lebih setengah abad.

b. Isu dan tindakan berbau perkauman dan kekerasan semakin bermunculan. Di sana sini ceramah Pakatan Rakyat diganggu dan kekerasan tanpa kawalan.

c. Ancaman dan kata-kata perkauman semakin menjadi-jadi, terutamanya di Pulau Pinang dan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

d. Serangan propaganda dan pelbagai bentuk tindakan secara konsisten dihalakan kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, negeri kaya yang hendak direbut kembali oleh BN ‘dengan apacarapun’.

e. Media tradisional dan rangkaian mereka secara berterusan menaburkan fitnah paling keji dan memburuk-burukkan apa saja yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

f. Pemberian wang dan pelbagai habuan diberikan kepada rakyat, khususnya rakyat di luar bandar menjelang pilihan raya.

g. Agensi kerajaan dipergunakan sedemikian rupa untuk memberikan kemenangan kepada BN dalam PRU ke-13 dengan pelbagai cara.

Kemudian, ibu segala masalah – pengundi yang diragukan, malah pengundi hantu – di mana masalah ini sangat sukar diatasi hingga menjelang pilihan raya akan datang.

Dalam keadaan yang sedemikian rupa, tidak mungkin atau masih amat jauh lagi impian rakyat untuk menyaksikan pilihan raya bersih dan adil dapat dipenuhi.

Bersih 1.0, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 sudah berlansung dan memang menimbulkan kesan besar, namun tuntutan Bersih masih juga belum ditunaikan boleh jadi hingga berlansung PRU Ke-13 nanti. Ini suatu cabaran yang amat getir dihadapi oleh Pakatan Rakyat.

Memanglah tidak mudah bagi Umno/BN yang memerintah lebih setengah abad untuk menyerah kalah dan mereka akan mempertahankan kuasa mereka dengan ‘apa cara sekalipun’. Hal ini memang disedari ramai.

Seperti diketahui umum, ibu segala masalah dalam PRU Ke-13 ialah senarai pengundi yang masih kotor dan pelbagai penipuan. Inilah up-hill battle yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat, terutama di negeri Selangor yang menjadi tumpuan khusus pengundi diragukan dan pengundi hantu.

Untuk ini kita bersimpati dengan Pakatan Rakyat, khususnya PAS Selangor yang bertanding banyak di kawasan Melayu, justru kawasan itu menjadi sasaran pengundi yang seumpama itu.

PAS Selangor, khususnya jentera pilihan rayanya yang dipimpin oleh Cikgu Jaafar dan pasukannya telah berhempas pulas untuk mengatasi masalah ini. Usaha mereka ini begitu cemerlang.

Sementara itu, Bersih 2.0 telah melancarkan kempen menentang penipuan dalam pilihan raya sebagai sambungan daripada siri perhimpunan Bersih 3.0 duduk bantah. Bersih 2.0 menjemput setiap rakyat Malaysia mengambil bahagian sebagai pemantau untuk pilihan raya yang dijangka tidak lama lagi.

Pertubuhan badan bukan kerajaan yang dianggotai 84 NGO itu turut melahirkan kekecewaan kerana perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu masih lagi tidak mendapatkan reaksi positif kerajaan untuk menghapuskan penipuan undi.

“Bersih 2.0 dengan kerjasama Tindak Malaysia dan Jom Pantau akan melatih sukarelawan yang akan memantau pilihan raya umum ke-13 kali ini bagi mengurangkan risiko penipuan dalam pilihan raya.

Mereka bertindak sebagai pemantau, pemerhati, pegawai pilihan raya, pengira undi dan agen untuk pengundi pos,” kata Pngerusi Bersama Bersih Datuk A. Samad Said kepada pemberita ketika sidang media di sini baru-baru ini.

Tindak Malaysia, katanya, telah menjalankan banyak latihan di seluruh negara untuk melatih ejen pengundi, pengira undi, dan ejen Barung (PACABA).
Menurutnya, kempen ini akan dilaksanakan sekurang-kurangnya kepada 400 individu setiap minggu bagi mendapatkan sejumlah 180,000 ejen pilihan raya.

“Sukarelawan PACABA adalah yang paling penting kerana mereka adalah barisan hadapan yang akan mencium bau penipuan dan memastikan pegawai pilihan raya tidak terlibat dengan penipuan dan mematuhi peraturan pilihan raya,” tambah Sasterawan Negara itu.

Kempen yang dikenali dengan nama 'Jom Pantau” itu diketuai oleh KOMAS, satu badan yang bekerjasama dengan Malaysian Observer Network (MEO-Net) dan National Institute for Democracy Electoral Integrity (NIEI). Latihan kepada sukarelawan tersebut akan dijalankan oleh Tindak Malaysia.

Jawatankuasa Pemandu Bersih turut melancarkankan laman web bagi memudahkan orang ramai membuat aduan terhadap sebarang bentuk penipuan sewaktu pilihan raya kepada Bersih.

Laman web yang dikenali itu membolehkan orang ramai membuat aduan melalui mesej teks, emel, twitter, panggilan telefon, atau mengisi borang aduan yang disediakan di laman web tersebut.

Selain itu, laman web berkenaan turut menyediakan khidmat peta bagi membolehkan pengadu menandakan dengan tepat lokasi di mana penipuan tersebut berlaku.

Usaha ini sewajarnya mendapat sokongan semua pihak, khususnya dari Pakatan Rakyat. Ini kerana matlamatnya sama untuk mendapatlkan pilihan raya yang benar-benar bersih dan adil.

Namun seperti saya katakana perjuangan ini sangat getir, memerlukan kesabaran, keyakinan dan strategi yang berkesan.

----------------------
Penulis boleh dihubungi melalui shukurharun@yahoo.com

Harakah Daily

Tiada ulasan: