17 Mei 2012

Penyamun meniarap bawah kereta elak ditahan

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT – Tindakan tiga suspek kes samun bersembunyi dengan meniarap di bawah sebuah kereta bagi mengelak ditahan gagal, apabila ia dapat dihidu polis yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan setelah menerima aduan daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.15 pagi, 7 Mei lalu di Taman Universiti, Sri Gading dekat sini itu disedari sepasang suami isteri yang juga pensyarah.

Menurutnya, pasangan terbabit terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi bising di luar rumahnya dan bertindak melihat ke luar dan menyedari ada beberapa kelibat manusia.

“Curiga dengan keadaan itu mereka kemudiannya menghubungi polis, dan beberapa minit kemudian anggota unit ronda pasukan polis tiba di lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan berhampiran rumah mangsa, didapati ketiga-tiga suspek menyembunyikan diri di bawah kereta milik mangsa dan seorang daripada mereka berjaya ditahan.

“Dua daripadanya berjaya melarikan diri dan kini polis masih lagi memburu mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Din Ahmad, suspek yang berjaya diberkas itu adalah warga Indonesia yang berusia 24 tahun, dan semasa siasatan dibuat suspek didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, tindakan pantas mangsa mengubungi polis telah menggagalkan rancangan suspek untuk memecah masuk rumah mangsa.

“Kami turut merampas beberapa senjata dan peralatan seperti pisau, pemotong dan pemutar skru dipercayai digunakan untuk menyamun.

“Polis masih menyiasat penglibatan mereka dalam kes-kes serupa di negeri lain dan mengesan rakan-rakan suspek yang masih bebas dipercayai bergiat aktif di sekitar daerah ini dan Kluang.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyamun dan suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: