17 Mei 2012

SMS tidak dibalas terjawab

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TANAH MERAH - "Khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar tidak terbalas akhirnya terungkai apabila anak saya bersama sahabat baiknya terlibat dalam kemalangan maut di Kampung Lawang, Batu Gajah, malam tadi (kelmarin)," kata Zuraidah Abdul Ghani, 42, ibu kepada Wan Mohd Alfzam Wan Hussien, 24, mangsa kejadian.

Menurutnya, kira-kira jam 10.30 malam tadi (kelmarin) mangsa bersama Mohd Sanusi Che Hamzah, 31, keluar dari rumah di Felda Kemahang dengan menaiki kereta untuk mengutip hutang daripada rakannya di Kampung Air Chanal

"Pada malam kejadian saya rasa tidak sedap hati, apabila SMS yang dihantar tidak dibalas sehingga rakan sekerja suami memberitahu anak kami terlibat dalam kemalangan.

"Saya amat terkejut dengan berita buruk tersebut menyebabkan seluruh anggota badan menjadi lemah kerana telahan kejadian buruk menimpa ke atas anak kami menjadi realiti," katanya ketika ditemui.

Bergegas ke tempat kejadian

Zuraidah berkata, SMS diterima daripada bakal tunang anaknya yang tinggal di Kuala Krai bertanya khabar mengenai diri mangsa kerana SMS dikirimkan juga tidak dibalas.

"Selepas itu saya pula yang menghantar SMS namun, tidak juga terbalas menyebabkan kami sekeluarga tidak tidur semalaman," katanya.

Tambahnya, dia dan suami bergegas ke tempat kejadian selepas diberitahu mengenai kemalangan itu, dan ketika tiba di tempat kejadian kira-kira jam 8.30 pagi ,Wan Mohd Alfzam bersama Mohd Sanusi sudah tidak bernyawa kerana tersempit dalam kereta yang remuk akibat terhumban ke dalam cerun dekat bahu jalan.

Arwah Mohd Sanusi teringin makan gulai ikan haruan

Sementara itu, isteri Mohd Sanusi, Siti Rohana Mustapha, 30, berkata, arwah bekerja sebagai tukang rumah berasal dari Felda Kemahang 2 itu, tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian.

Menurutnya, arwah suami teringin hendak makan gulai ikan haruan, walaupun sebelum ini dia tidak pernah makan masakan itu.

"Ketika turun dari rumah, arwah tidak memberitahu hendak ke mana dan saya tidak merasakan apa-apa kerana sudah biasa dengan caranya," katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara enam tahun hingga 10 tahun.

Mangsa maut akibat tersepit

Sementara itu, jurucakap bomba Tanah Merah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 7.30 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera bersama lima anggota.

Katanya, setibanya di tempat kejadian didapati dua mangsa tersempit dalam kereta tersebut dan dipercayai sudah meninggal dunia.

"Pihak bomba mengambil masa 20 minit untuk operasi menyelamat, kerana terpaksa memotong kenderaan yang remuk bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa itu," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: