17 Mei 2012

Askar bengkak kedua mata, pecah gegendang telinga

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang askar cedera di kedua-dua belah mata serta mengalami pendarahan pada gegendang telinga dipercayai akibat dibuli anggota senior, di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia 20 tahun yang baru dua tahun menyertai pasukan keselamatan itu dipercayai dibuli ketika sesi ‘salam perkenalan’ kira-kira 11.30.

Sumber memberitahu, mangsa sebelum itu didatangi tiga anggota senior dan menyuruh mangsa datang ke bilik mereka.

Menurutnya, mangsa kemudian pergi ke bilik anggota senior berkenaan, namun setibanya di sana, mangsa terkejut apabila mendapati lima anggota senior lain berada dalam bilik berkenaan.

“Salah seorang dari anggota senior berkenaan tidak berpuashati dengan mangsa dan menyuruh mangsa memanggil rakannya yang berada di dalam bilik untuk turut bersama dengan mangsa.

“Difahamkan, salah seorang anggota senior mendakwa mangsa berlagak seperti orang lama semasa menjalani kursus, namun mangsa menafikan dakwaan berkenaan,” katanya.

Menurut sumber lagi, salah seorang dari anggota senior menampar muka mangsa tidak kurang sepuluh kali sehingga mangsa terjatuh di atas lantai bilik berkenaan.

“Semasa mangsa cuba bangun, anggota senior tadi kemudian menampar pipi mangsa beberapa kali hingga mangsa hilang kawalan lalu tersungkur di atas lantai sekali lagi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurut sumber, selepas mangsa menyedari mukanya bengkak, salah seorang anggota senior bertanya sama ada mangsa akan melaporkan kepada pihak atasan, namun mangsa menafikannya kerana takut.

Katanya, kira-kira sejam setengah selepas itu, mangsa mendapatkan rawatan di sebuah hospital dan doktor mengesahkan kedua belah matanya berlaku pendarahan di bahagian dalaman.

“Manakala gegendang telinga mangsa didapati pecah akibat berlaku pendarahan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Udang, kira-kira 3.30 pagi, semalam.

Sementara, itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: