17 Mei 2012

Bayar RM100,000 bebaskan suami

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan melalui saat getir apabila dia diculik oleh sekumpulan empat lelaki ketika sedang makan di sebuah restoran di Rawang, Gombak, tengah hari kelmarin.

Lelaki berusia 50-an itu kemudian dibebaskan di sebuah kebun kelapa di Ijok pada jam 9 malam hari sama, selepas isteri mangsa membayar wang tebusan RM100,000 dengan meninggalkan wang berkenaan di satu lokasi di Johor seperti diarahkan kumpulan penculik.

Menurut sumber, ketika kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang sedang makan bersama rakannya tiba-tiba didatangi empat lelaki bersenjatakan pistol sebelum dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Proton Gen2 dengan kedua-dua matanya ditutup dengan kain.

“Kesemua suspek pada awalnya menuntut tebusan RM5 juta, namun mangsa mendakwa tidak mempunyai wang sebanyak itu menyebabkan jumlah dikurangkan kepada RM100,000 selepas isterinya merayu kepada kumpulan terbabit melalui rundingan,” katanya.

Sumber memberitahu, ahli perniagaan terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Rawang.

Dalam laporan polis itu, mangsa turut mendakwa gagal mengecam wajah suspek kerana sepanjang ditahan, matanya ditutup dengan kain.

Agency

Tiada ulasan: