16 Mei 2012

Anak buah Dollah kenduri gol, belasah Singa Utara

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TEMERLOH – Skuad Tok Gajah naik minyak malam kelmarin dengan membelasah Perlis 7-2 di gelanggang sendiri Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) disaksikan kira-kira 5,000 penonton.

Pemilihan import Brazil Maycon Calvalho Inez nyata memberi kepuasan berganda kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) dan juga peminat setia.

Enam gol daripada tiga penampilan sebenarnya satu rekod yang perlu diberi perhatian serius pasukan-pasukan lain ketika gandingan import ini dengan penyerang tempatan semakin menjadi.

Pengurus Pasukan Pahang Datuk Che Nasir Salleh percaya gandingan Maycon, Azzmudin Mohd Akil (Alex) dan Mohd Fauzi Rozlan semakin menjadi asalkan mereka bermain secara berpasukan.

“Saya puas hati dengan penampilan mereka, namun semua ini tidak akan berhasil jika bahagian-bahagian lain khususnya di bahagian tengah tidak memainkan peranan.

“Lorongan bola cantik dari bahagian tengah dalam beberapa aksi sebelum ini berjaya disudahkan dengan baik gandingan penyerang kita,” katanya.

Dalam aksi menentang Perlis di sini malam kelmarin, Maycon menjaringkan hatrik selain berjaya menjaringkan gol pertama pada aksi sulung menentang Harimau Muda B dan dua jaringan dihasilkan ketika menentang Sime Darby minggu lalu.

Dalam aksi dengan Singa Utara kelmarin, Maycon meledak tiga gol pada minit ke-15, 59 dan 62 manakala Azzamudin meledak dua gol pada minit ke-19 dan 82 selain sentuhan pemusnah Mohd Fauzi Rozlan dan Boris Kochkin menambah derita lawan dengan jaringan masing-masing pada minit ke-63 dan 90.

Perlis mendapat gol menerusi penyerang mereka Mohamad Rizal pada minit ke 65 dan 79.

Begitupun, Che Nasir sedikit kecewa dengan barisan pertahanan yang kerap kali leka sehingga membolehkan lawan menghasilkan gol walaupun Pahang mendominasi permainan.

“Saya akan meminta Ketua Jurulatih, Dollah Salleh memperkemaskan benteng pertahanan kita supaya dapat mengelakkan gol-gol mudah pihak lawan,” katanya.

Beliau berkata, pemain-pemain Pahang akan berehat sebulan selepas ini dan sebaik jadual bermula Pahang akan berhadapan dengan ujian sebenar menentang ATM.

Menurutnya, pemain-pemain diharap sentiasa menjaga kecergasan sepanjang berehat dalam tempoh yang lama untuk berhadapan dengan lawan sebenar nanti.

“Perlawanan pertama kita selepas rehat ialah dengan menentang ATM jadi sudah tentu satu perlawanan penting untuk menentukan siapa juara Liga Perdana musim ini.

“Pemain-pemain juga diingatkan tidak memandang mudah keupayaan pasukan lain selepas perlawanan menentang ATM itu nanti,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden PBNP Datuk Akbar VV Abu berterima kasih kepada penyokong setia Pahang khususnya Ultras Pahang dan Brigade Patin yang memberi sokongan padu selain berjaya mengawal tingkah laku mereka.

Sinar Harian

Tiada ulasan: