16 Mei 2012

Lelaki diberkas curi kabel telekom

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang lelaki masuk perangkap apabila dia diberkas polis bantuan Telekom Malaysia (TM) ketika cuba memunggah kabel telekom dipercayai dicuri di Kampung Lubuk Jambu Kedai Mulong, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditangkap semasa datang mengambil barang dicurinya yang diletakkan di tepi jalan di kawasan tersebut.

Azham berkata, polis bantuan tersebut mendapat isyarat kira-kira jam 5 pagi terdapat kecurian kabel di kawasan itu dan terus melakukan pemeriksaan di lokasi berkenaan.

Menurutnya, ketika itu dia menemui lampu suluh, parang dan segulung kabel yang bernilai kira-kira RM400 ditinggalkan di tepi jalan dipercayai barang curi.

“Apabila mengesyaki ia adalah barang curi dia memaklumkan kepada empat lagi rakannya untuk membuat pemeriksaan kerana didapati tiada sesiapa di kawasan berkenaan. Setelah menunggu lebih satu jam di kawasan sekitar, dua lelaki menunggang motosikal datang mengambil barang yang ditinggalkan itu dan mengejarnya.

“Setelah motosikal berkenaan terbabas lelaki berkenaan yang berasal dari Dewan Beta diberkas manakala seorang lagi rakannya berjaya melarikan diri,” katanya.

Kemudiannya, lelaki terbabit menghubungi polis sebelum menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut dan pemuda berkenaan direman empat hari bermula 13 Mei lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: