16 Mei 2012

Tiada Bersih 4.0, Bersih 2.0 umum 2 langkah wajib

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Bersih 2.0 tidak merancang untuk mengadakan Bersih 4.0 sebaliknya mensasarkan dua langkah penting yang wajib dilaksanakan rakyat Malaysia menjelang pilihan raya umum ke-13.

Dua langkah tersebut ialah memastikan rakyat keluar mengundi dan menjadi 'mata-mata' mengesan penipuan dalam pilihan raya.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said berkata, rakyat yang merupakan pengundi berdaftar harus menjadikan undi mereka sebagai benteng untuk melawan penipuan.

Ini kerana katanya, perjuangan menuntut pilihan raya adil dan bersih belum selesai walaupun rakyat berjaya menunjukkan kekuatan mereka pada perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan katanya tidak berniat pun untuk membaiki dan mereformasi sistem pilihan raya.

"Langkah pertama yang wajib kita lakukan ialah keluar mengundi - lawan penipuan.

"Kami menyeru rakyat Malaysia yang terdiri daripada semua bangsa untuk beramai-ramai bertekad keluar mengundi. Marilah kita keluar beramai-ramai mengundi dengan jumlah yang belum pernah terjadi di Malaysia," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, dekat sini, hari ini.

Sasterawan Negara itu juga berkata, Bersih 2.0 sedang bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Tindak Malaysia dan Jom Pantau! untuk melatih sukarelawan sebagai pemantau, pegawai pilihan raya, pengira undi dan ejen pengundi pos.

"Kita wajib memerhati dengan mata yang tajam jika berlaku penipuan.

"Laporkan, hebohkan dan lawan penipuan ini. Kita memerhati ketika masa berkempen dan di hari membuang undi.

"Kami menyeru semua penyokong Bersih untuk sama-sama melawan penipuan dengan menjadi pemantau, pengira undi dan ejen pengundi," katanya.

Lapor penipuan kepada Jom Pantau!

Tindak Malaysia telah menjalankan banyak latihan di seluruh negara untuk melatih ejen pengundi, pengira undi dan ejen barung (Pacaba).

Sukarelawan untuk Pacaba ialah petugas yang paling pentimg kerana mereka adalah di barisan hadapan yang akan mengesan penipuan.

Manakala Jom Pantau pula diketuai Komas yang bekerjasama dengan Malaysian Observes Network (MEO-Net), Southeast Asian Center for e-Media (SEACAM) dan National Institute for Democracy Electoral Iintegrity (NIEI).

Rakyat boleh mengambil bahagian dalam pemantau pilihan raya dengan cara membuat laporan jika ternampak penipuan, penyalahgunaan kuasa atau tindakan SPR atau parti yang tidak mengikut peraturan.

Perkara tersebut boleh dilaporkan kepada umum di www.pru13.info.

Turut bersama pada sidang media ialah Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan Hishamudin Rais.

Harakah Daily

Tiada ulasan: