16 Mei 2012

Tarik RUU p'raya, bila Najib nak berhenti 'flip-flop'

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Keputusan menarik balik cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan Pilihan Raya 2012 minggu lalu menyerlahkan sikap 'tidak teliti' kerajaan yang diteraju Datuk Seri Najib Razak dalam membuat sesuatu keputusan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, akibat ketidaktelitian itu itu menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil tindakan yang sangat memalukan.

"Kita lihat SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tidak teliti dalam mengemukakan RUU ini.

"Yang kita peliknya, waktu dibentang tempoh hari, ahli parlimen BN sokong habis, mati-matian sokong," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai ketika dihubungi Harakahdaily.

Sebelum ini RUU Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 itu diluluskan secara tergesa-gesa pada 19 April lalu iaitu hari terakhir persidangan Parlimen untuk kali kelima bagi penggal ke-12.

Hatta yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya berkata, banyak hal dalam pentadbiran Najib yang dibuat 'separuh masak' sehingga ianya kemudian terpaksa ditarik balik.

Sebagai contoh, skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), penggabungan Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) dengan AirAsia dan beberapa projek lain yang kemudian ditarik balik.

Kerajaan pada 10 Mei lalu mengumumkan menarik balik cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 di Dewan Negara.

Keputusan itu dibuat jemaah menteri selepas mengambilk kira maklum balas dan bantahan dari pelbagai pihak terhadap rang undang-undang itu.

Keputusan itu juga turut dipersetujui Pakatan Rakyat yang dari awal mempersoal beberapa perkara dalam pindaan tersebut.

Harakah Daily

Tiada ulasan: