16 Mei 2012

Mohd Nizam Abd Manaf dikehendaki bantu siasatan kes samun

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BACHOK - Polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes samun secara berkumpulan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Bachok DSP Ab Rahim Che Ghani berkata Mohd Nizam Abd Manaf, 32, berasal dari Kampung Nakhoda Saamah di sini, menggunakan kad pengenalan bernombor 800827035283.

Kumpulan terbabit yang dianggotai tiga hingga empat lelaki, dipercayai terlibat dalam 12 kes samun sejak November tahun lepas, dengan sasarannya golongan suri rumah, katanya kepada pemberita di pejabatnya semalam.

Ab Rahim berkata modus operandi kumpulan itu ialah datang ke rumah mangsa dan berpura-pura menanyakan nama jalan atau orang, sebelum meragut dan melarikan barangan berharga, pada waktu siang.

Dalam kejadian tiga hari lepas, seorang suri rumah di Kampung Kandis di sini, kerugian kira-kira RM10,000 apabila barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai disamun dipercayai dilakukan kumpulan terbabit.

Beliau berkata kumpulan terbabit menggunakan pelbagai jenis kenderaan, termasuk kereta yang dipercayai disewa dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu, bagi mengelak dikenali mangsa.

Katanya polis kini berusaha menjejaki kumpulan samun berkenaan dengan menampal poster suspek di kawasan tumpuan umum di seluruh daerah ini bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Insp Yusli Zainal di talian 013-9239319.

Sementara itu, Polis Daerah Kota Baharu sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai mencabul dan merogol dua wanita pelancong warga asing pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata sebelum ini, polis berjaya menahan reman seorang pelajar berusia 18 tahun dari sebuah institusi pengajian tinggi awam, bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kejadian itu berlaku selepas pelancong terbabit mengikuti seorang lelaki yang berpura-pura hendak membantu menghantar mereka ke sebuah pejabat agensi pelancongan selepas menyelesaikan urusan mendapatkan visa di Konsul Thailand, di Jalan Padang Bongor, di sini.

Kedua-dua pelancong terbabit sebelum itu baru menghabiskan cuti di Pulau Perhentian, Terengganu. - Bernama.

Sinar Harian

Tiada ulasan: