16 Mei 2012

Warga emas pengsan api misteri muncul secara tiba-tiba

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KERIAN– Insiden kebakaran tanpa punca di sebuah rumah di Tebuk Haji Musa, di sini sejak enam hari lalu menyebabkan pemiliknya berada dalam keadaan tertekan sebelum ditemui pengsan, petang kelmarin.

Aishah Idris, 60, dikatakan bimbang dan hilang punca dengan kejadian itu yang menyebabkan barangan perabot serta pinggan mangkuk rumahnya terbakar secara tiba-tiba.

Anak saudaranya, Noraini Osman, 25, berkata, kejadian terbaru berlaku sekitar jam 6 petang, kelmarin apabila api tiba-tiba muncul membakar almari baju di dalam bilik.

Menurutnya, kejadian aneh itu bukan sahaja misteri, malah merbahaya kerana dikhuatiri menyebabkan kecederaan kepada ahli keluarga.

“Ahli keluarga saya terpaksa berjaga secara bergilir-gilir termasuk mengawal kawasan sekeliling rumah bersama jiran tetangga.

“Semalam (kelmarin), kejadian menjadi semakin serius apabila bahagian bilik mula terbakar, bermula dari almari baju dan ia merebak ke bahagian siling.

“Kami terpaksa menghubungi bomba untuk membantu mengawal kebakaran,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian dimaklumkan, kebakaran yang berlaku hanya membabitkan barangan tertentu seperti sofa, tilam, bantal dan selimut.

Kejadian seumpama itu kebiasaannya berlaku sebelum Zohor, sebelum Maghrib dan sebelum Subuh menjelang.

Seorang lagi ahli keluarga mangsa, Mohd Qhu Faizal Mohd Yasin, 15, berkata, dia turut berjaga malam mengawal keadaan rumah neneknya itu.

“Setiap malam kami berjaga, bagaimanapun selepas kami pulang sekitar jam 3 hingga 4 pagi semalam (kelmarin), tidak sampai lima minit kebakaran berlaku lagi,” katanya.

Mohd Qhu berkata, kebakaran yang berlaku sebelum ini berjaya dipadamkan sendiri kerana hanya membabitkan api yang kecil.

Namun katanya, kebakaran yang berlaku, kelmarin adalah di luar jangkaan mereka.

Sinar Harian

Tiada ulasan: