16 Mei 2012

Polis berjaya berkas enam perompak

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Kegembiraan empat perompak meraikan kejayaan mereka di sebuah kedai makan di Jalan Kuantan-Maran terbantut apabila mereka berjaya dicekup polis hanya selepas tiga jam menyamun sebuah pusat internet di Jalan Gambang dekat sini, malam kelmarin.

Berikutan penahanan empat suspek kira-kira jam 2.30 pagi itu, polis turut berjaya menahan dua lagi rakan mereka di lokasi berasingan manakala harta rompakan bernilai kira-kira RM18,000 termasuk wang tunai dan telefon bimbit berjaya dirampas.

Pegawai Turus Urus setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintenden Noor AsyikinShamsuri berkata, suspek warga tempatan berusia 21 hingga 35 tahun itu dipercayai terlibat melakukan rompakan secara berkumpulan ke atas penjaga dan dua pelanggan pusat internet itu kira-kira jam 11.50 malam 13 Mei lalu.

Menurutnya, kesemua suspek yang bersenjatakan parang itu dipercayai melindungi wajah mereka menggunakan topeng sebelum menyerbu masuk ke dalam pusat internet terbabit.

“Kumpulan itu bertindak menyerbu penjaga premis dan dua pelanggan berusia dalam lingkungan 20-an sebelum mengarahkan mereka menyerahkan wang tunai dan barang berharga.

“Pengadu dalam kes ini mendakwa salah seorang suspek meletakkan parang ke lehernya sebelum mengarahkan dia menyerahkan wang dan telefon bimbit,” katanya, semalam.

Noor Asyikin berkata, bimbang dicederakan suspek, kesemua mangsa menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM18,000.

“Setelah mendapat habuan mereka, suspek terus melarikan diri manakala pengadu segera menghubungi polis,” katanya.

Beliau berkata, suspek hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk bertindak sebelum melarikan diri.

“Polis menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 11.55 malam sebelum satu pasukan digerakkan bagi mengesan suspek terbabit.

“Berdasarkan maklumat pengadu, polis berjaya mengesan empat suspek ketika sedang menjamu selera di sebuah kedai makan di Kilometer 30, Jalan Kuantan- Maran dan semua mereka berjaya ditahan manakala dua lagi ditahan secara berasingan,” katanya.

Suspek yang berjaya ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk soal siasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Semua suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: