16 Mei 2012

Sorok diesel sebalik tayar

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Taktik licik satu sindiket menyeleweng minyak diesel subsidi terbongkar apabila seorang pemandu ditahan bersama lorinya yang penuh dengan bahan itu malam kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang, M Gunaselan berkata, kejayaan itu adalah hasil pemerhatian selama dua minggu serta maklumat awam sehingga melumpuhkannya yang dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, enam anggota penguat kuasa KPDNKK menahan pemandu lori itu di sebuah stesen minyak di Farlim, Air Itam kerana membawa lori mengandungi tong untuk mengisi minyak diesel bersubsidi pada jam 8.40 malam.

“Ia dilitupi dengan tayar terpakai bagi mengaburi mata pihak berkuasa jika ditahan untuk pemeriksaan.

“Jika tidak diteliti, tong minyak yang direka khas pada lori itu tidak akan kelihatan kerana bahagian atas dipenuhi dengan tayar terpakai serta ditutup dengan kain kanvas tebal,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati minyak diesel sebanyak 3,500 liter itu berada dalam sebuah tangki besi yang diubahsuai yang diletakkan di bahagian belakang lori.

“Tangki yang diubahsuai itu dianggarkan boleh mengisi 6,000 hingga 7,000 liter,” katanya.

Beliau berkata, pemandu itu ditahan untuk siasatan manakala lori disita. Nilai rampasan ialah RM43,300.

Gunaselan berkata, modus operandi sindiket itu ialah mengambil minyak dari satu stesen ke satu stesen lain untuk dikumpulkan pada satu tempat sebelum dijual kepada pihak ketiga.

“Bekalan minyak ini dipercayai dijual ke luar negara ataupun kepada pihak perindustrian. Kita percaya ada stesen minyak yang bersubahat dalam penyelewengan diesel bersubsidi ini. Kita akan memantau untuk menyekat kegiatan ini daripada berleluasa.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Syarikat pula boleh didenda sehingga RM250,000,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh tahun ini, KPDNKK negeri bertindak ke atas 45 kes penyelewengan diesel dan petrol serta menyita kedua-dua bahan api itu bersama dengan peralatan dan kenderaan bernilai kira-kira RM 1.5 juta.

Sinar Harian

Tiada ulasan: