25 Mei 2012

Bersih 3.0: Rugi ratus ribu, 'hadiah' juta-juta

4 Rejab 1433H. [MOD] -

ISU-ISU 'spin off' pasca Bersih 3.0 nampaknya masih mendominasi ruang politik negara walaupun himpunan duduk, bantah 28 April itu sudah hampir sebulan berlalu.

Ada di kalangan penganalisis politik meramalkan kesan himpunan Bersih 3.0 akan berkekalan sehingga empat bulan yang pastinya menambah kesukaran kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan tarikh pilihan raya umum.

Kegusaran BN terhadap impak himpunan Bersih 3.0 tidak sukar untuk dilihat. Kehadiran ratusan ribu rakyat di ibu kota Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru, juga di Kota Kinabalu dan Miri menunjukkan kesepaduan tekad rakyat bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Malah himpunan duduk, bantah Bersih 3.0 dengan lapan tuntutan iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, memperkukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor disambut serentak rakyat Malaysia di lebih 74 bandar seantero dunia.

Kunjungan Perdana Menteri di London baru-baru ini juga disambut warna kuning (warna rasmi Bersih) dan mukadimah ucapannya di hadapan rakyat Malaysia turut diiringi laungan "bersih, bersih, bersih..."

Terdesak dengan asakan demi asakan rakyat terhadap cara kerajaan BN menangani perhimpunan aman itu, Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Pilihan Raya 2012 akhir tidak dibincangkan Dewan Negara. 'Panel siasat bebas' juga ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan keganasan polis walaupun ia diketuai oleh pengerusi yang anti-Bersih.

Di masa yang sama, pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk meletakkan kesalahan kepada penganjur Bersih 3.0. Terbaru adalah tindakan memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM122,000 terhadap Pengerusi Bersama Bersih, Dato' Ambiga Sreevanasan serta sembilan lagi ahli jawatankuasa pemandu Bersih 3.0.

Dakwaannya adalah gagal mengawal perhimpunan 28 April lalu sehingga pihak kerajaan terpaksa menanggung kerugian.

Beberapa hari sebelumnya, tiga pemimpin KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Chegu Bard dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengingkari Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam samannya terhadap sepuluh ahli jawatankuasa pemandu Bersih 3.0, kerajaan BN mendakwa mengalami kerosakan dan terpaksa menanggung kerugian yang telah ditaksirkan Jabatan Kerja Raya (JKR). Kos untuk memperbaiki semua kenderaan terbabit adalah antara RM2,000 hingga RM16,000 yang kesemuanya berjumlah RM122,000.

Kerajaan sebagai plaintif juga menuntut satu deklarasi bahawa defenden-defenden sebagai penganjur telah mengingkari seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan menuntut gantirugi berjumlah RM122,000.

Sebelum daripada ini Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menanggung kos RM300,000 ekoran perhimpunan Bersih 3.0.

Kerugian, katanya termasuk kerosakan pada lanskap dan kos membersihkan kira-kira 8 tan sampah sarap di sekitar kawasan perhimpunan di ibu negara.

Apa yang gagal dinyatakan kerajaan BN dan Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah, kesemua kerugian yang berlaku itu sebenarnya berpunca daripada tindak-tanduk pihak polis yang mengkucar-kacirkan perhimpunan aman itu apabila secara semberono melepaskan gas pemedih mata dan meriam air kepada ribuan peserta perhimpunan di Jalan Raja, Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut.

Dalam keadaan kelam kabut itu jugalah berlaku insiden-insiden tidak diingini termasuk pembantaian orang awam oleh pasukan polis beruniform dan tidak beruniform.

Paling mendukacitakan adalah tindakan tidak bertamadun golongan anti-Bersih yang melakukan perbuatan 'kacau ganggu' di hadapan rumah Ambiga di Bukit Damansara.

Ada yang menonggeng punggung dan ada yang mahu mengadakan pasar terbuka selama dua hari.

Ketua senaman punggung akhirnya menerima malu apabila kisah silamnya merasuah RM1 juta untuk mendapatkan gelaran datuk palsu daripada seorang kerabat diraja didedahkan warga siber.

Ketua persatuan penjaja kecil yang hidup mewah pula menerima ancaman boikot daripada penyokong Bersih apabila rantaian restoran Ikan Bakar Sekinchan miliknya didapati mengenakan harga mahal tidak masuk akal berbanding mutu perkhidmatan yang buruk.

Apa yang menarik, tauke restoran ikan bakar dan kereta import mewah itu menawarkan hadiah jutaan ringgit kepada orang ramai yang mengunjungi halaman Facebook Bersih 4.0 tajaannya.

Menurutnya, pelawat Facebook berpeluang memenangi kereta BMW 530 dalam cabutan bertuah apabila jumlah peminat mencecah 150,000 orang.
Kereta model 2005 itu bernilai RM225,000.

Sekiranya jumlah peminat Facebook itu mencecah satu juta orang, sebuah lagi kereta mewah, model Lamborghini Gallardo model 2009 bernilai RM1.2 juta akan ditawarkan dalam cabutan bertuah.

Begitulah mewahnya 'persatuan peniaga kecil' yang mendakwa kerugian ratusan ribu ringgit ekoran perhimpunan Bersih 3.0.

Bukanlah lebih berfaedah jika wang sebanyak itu dihadiahkan kepada kerajaan BN dan DBKL untuk menampung kerugian akibat Bersih 3.0.

Nampaknya Bersih 3.0 benar-benar membuatkan kita bingung. Bingung kerana urusan perniagaan dan pentadbiran pun mahu dipolitikkan. Mungkin kebingungan ini juga dialami Majlis Fatwa Kebangsaan. Benarkah?

Harakah Daily

Tiada ulasan: