25 Mei 2012

Penganggur bersalah bunuh dua beranak tiga tahun lalu

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Hayat seorang penganggur yang didakwa membunuh kejam dua beranak di Kampung Sireh, tiga tahun lalu, berakhir di tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam mendapati dia bersalah melakukan pembunuhan pada pagi 30 September 2009.

Setelah tiga tahun melalui perbicaraan, Hakim Azman Abdullah akhirnya keputusan itu ke atas Mazdi Muhammad, 34, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh didakwa membunuh seorang suri rumah warga Thailand, Maena Ya, 36, dan anak wanita itu, Nurasyiken yang berusia setahun, pada jam 2.30 pagi di rumah tidak bernombor di Kampung Sireh Bawah Lembah di sini, tarikh berkenaan.

Keputusan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sebelum keputusan dibuat, peguam bela, Ahmad Nizam Muhamad memohon mahkamah mempertimbangkan faktor umur tertuduh yang masih muda.

“Tertuduh adalah bekas penagih dadah dan belum berkahwin serta masih tinggal bersama ibunya,” katanya.

Hakim Azman bagaimanapun menegaskan tidak ada hukuman lain selain gantung sampai mati jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian muka dan dada disebabkan tetakan bertubi-tubi menggunakan senjata tajam.

Nurasyiken maut di tempat kejadian manakala Maena pula meninggal dunia pada jam 6.45 pagi selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Ketika kejadian, dua beranak itu berada di rumah mereka manakala suaminya berada di Terengganu kerana menjalankan urusan pekerjaan.

Mazdi yang menyembunyikan diri bagaimanapun berjaya ditangkap sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sekitar daerah ini empat hari kemudian.

Sinar Harian

Tiada ulasan: