25 Mei 2012

Pukul kepala guna tukul besi

4 Rejab 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT - Jeritan seorang anak berjaya menyelamatkan ibunya yang cedera parah pada bahagian kepala akibat dipukul menggunakan tukul besi dalam cubaan samun sebuah kedai pakaian di Jalan Lintang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Azman Salim memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 7.40 petang dan mangsa, Faridah Pahim, 48, merupakan pemilik kedai pakaian itu.

Menurutnya, semasa kejadian, mangsa ditemani anaknya, Ilia Dalila Ismail, 22 di premis berkenaan dan telah dikunjungi sepasang kekasih (suspek) yang berpura-pura ingin membeli pakaian.

"Suspek merupakan lelaki berusia 38 tahun bersama pasangannya, seorang wanita berusia 40 tahun mengaburi mata mangsa dengan menyamar sebagai pelanggan.

"Selepas beberapa minit membelek pakaian, suspek lelaki telah bertindak ganas dengan memukul kepala mangsa dengan tukul besi dan mengugut mangsa untuk menyerahkan wang," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, suspek bagaimanapun tidak sempat meneruskan niat mereka apabila jeritan mangsa didengari anaknya yang telah berlari keluar kedai untuk meminta pertolongan selepas melihat keadaan mangsa berlumuran darah.

"Walaupun ketakutan dan panik, tindakan anak mangsa telah menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira warna putih tanpa sempat melarikan wang atau lain-lain barangan.

"Anak mangsa juga sempat mencatatkan nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek yang dapat membantu penangkapan suspek, selain daripada maklumat dari orang awam," katanya.

Azman memaklumkan, kedua-dua suspek berjaya diberkas polis di sebuah restoran yang berjarak kira-kira 1 kilometer dari lokasi kejadian.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan dalam kereta, polis turut menemui perkakas yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pecah rumah.

"Siasatan mendapati suspek lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur, mempunyai 13 rekod kesalahan lampau termasuk rogol, samun, penyalahgunaan dadah, pukul dan empat kali dibuang daerah.

Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah.

"Suspek wanita pula berasal dari Kampung Simee, Ipoh, didapati bebas dari pengaruh dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau," katanya.

Tambahnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan dan kedua-dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut atas kesalahan melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: