25 Mei 2012

Jk Bersih akan putus tindakan - Pak Samad

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said memberitahu Jawatankuasa Pemandu Bersih akan bermesyuarat bagi memutuskan tindakan selanjutnya yang akan diambil berhubung perhimpunan anti Bersih di rumah Datuk S Ambiga petang tadi.

Beliau yang ditemui diperkarangan rumah Ambiga menjelaskan, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Kita akan bermesyuarat dan membincangkan tentang apa yang berlaku hari ini dan selepas itu satu kenyataan akan dikeluarkan.

"Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan kerana sebagai sebuah jawatankuasa biarlah kenyataan tersebut selari dengan apa yang mahu Ambiga nyatakan nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu hampir 100 orang cuba berkumpul di depan rumah Ambiga di Bukit Damansara di sini dengan sebahagiannya terdiri daripada sekumpulan pemuda bermotosikal.

Mereka adalah dari kumpulan anti Bersih yang diketuai Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga Kuala Lumpur (MBPKL) Datuk Jamal Yunus yang sebelum ini turut mengumumkan akan membuka gerai di hadapan rumah Ambiga.

Bagaimanapun, ia dibatalkan disaat-saat akhir.

Perhimpunan mereka siang tadi bagaimanapun gagal sampai di hadapan rumah Ambiga apabila dihalang penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berada di simpang masuk ke rumah Ambiga di Jalan Setiakasih 1 sejak pagi tadi.

Dua buah lori besar DBKL turut ditempatkan berdekatan kawasan itu, dipercayai untuk mengangkut sebarang gerai yang didirikan tanpa kebenaran.

Terdahulu sebelum itu, sekumpulan 30 orang lain yang menggelarkan diri mereka "HALAU 1.0" cuba menyerahkan risalah mengandungi 10 sebab Ambiga perlu 'dihalau' dari Malaysia kepada Ambiga sendiri.

Cubaan mereka bagaimana pun gagal apabila risalah itu hanya diterima Datuk A Samad Said menerusi celah pintu pagar rumah Ambiga.

Harakah Daily

Tiada ulasan: