25 Mei 2012

Guru lapan beranak disamun empat lelaki bertopeng

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Lapan beranak menempuh detik mencemaskan apabila diikat dan diugut dengan kayu yang dipenuhi paku serta paip besi oleh empat lelaki bertopeng yang memecah masuk kediaman mereka dalam satu kejadian samun di Kampung Lapang Sira, Kuala Belara, Manir, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, mangsa, Zainabon Mat Diah, 54, sedang lena tidur bersama tiga anaknya di ruang tamu sebelum dikejutkan empat penyamun berkenaan dipercayai menceroboh masuk rumah terbabit melalui pintu belakang.

Menceritakan kejadian, ibu tunggal kepada lapan anak itu berkata, sejurus terkejut daripada tidur, dia ternampak empat lembaga hitam berdiri di hujung kepalanya sambil masing-masing memegang sebatang kayu dan sebatang paip besi.

“Salah seorang daripada mereka memberi amaran kepada saya agar jangan membuat bising dan akan mengeluarkan pisau jika saya melawan sebelum mengikat kedua belah tangan kami dengan menggunakan dawai pagar rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Zainabon yang juga seorang guru berkata, salah seorang suspek telah memaksa anak keenamnya, Mohd Syahrizul Chik, 24, untuk menunjukkan bilik yang masih dihuni oleh ahli keluarganya dengan keadaan kedua-dua belah tangan diikat di belakang.

"Kami takut, hanya ikut arahan"

“Disebabkan ketakutan, kamihanya mengikut sahaja arahan mereka dan anak saya terus membawa dua daripada suspek naik ke tingkat atas untuk mengejutkan empat lagi adik beradiknya yang tidur di dalam bilik.“Ketika itu, kami langsung tidak melawan, malah untuk bersuara pun kami tidak mampu kerana mereka sentiasa mengacukan senjata yang dipegang ke arah kami,” katanya.

Katanya, selepas mereka dikumpulkan di ruang tamu, keempat-empat suspek mula menggeledah rumah terbabit dan berjaya melarikan barangan kemas termasuk tiga utas gelang, seutas rantai, lapan keping jokong emas, wang tunai berjumlah RM3,500 dan lima telefon bimbit yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM50,000.

“Semasa menggeledah beg tangan saya dan mengambil duit gaji yang baru dikeluarkan sebelum itu, salah seorang berkata yang mereka semua tidak makan seminggu disebabkan tiada duit. “Tiga daripada mereka menggunakan dialek Indonesia manakala seorang lagi saya tidak tahu kerana dia bercakap dialek campur-campur,” katanya.

"Anak minta longgarkan ikatan saya"

Zainabon berkata, setelah mendapat apa yang dikehendaki, salah seorang suspek memaksa kami menyerahkan dua kunci motosikal sebelum melarikan diri dengan motosikal berkenaan.

“Sejurus mereka beredar, saya berjaya membukakan ikatan kerana sebelum itu salah seorang daripada anak saya merayu agar melonggarkan ikatan di tangan saya kerana memberitahu saya sudah tua dan ada penyakit kencing manis.

“Walaupun kami tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kejadian ini masih menjadi ‘igauan ngeri’ buat kami sekeluarga,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: