25 Mei 2012

Papan iklan guna bahasa rojak

4 Rejab 1433H. [MOD] -

PORT DICKSON – Senario papan iklan yang tidak mempamerkan bahasa Melayu dengan betul dan menggunakan bahasa rojak mencacatkan pemandangan di sekitar Bandar Peranginan, Port Dickson sekali gus merosakkan keindahanbahasa kebangsaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Abd Wahab Shamsuddin berkata, pengiklan perlu peka dan mengutamakan bahasa Melayu dengan mempamerkan papan tanda mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan.

“MPPD sentiasa memantau keadaan papan iklan yang mencampuradukkan bahasa kebangsaan dengan bahasa asing. Walaupun penggunaan bahasa asing dibenarkan, tetapi ia perlu lebih kecil berbanding perkataan dalam bahasa Melayu.

"Kebanyakan yang tidak mematuhi peraturan itu adalah papan tanda perniagaan premis dibuat secara haram kerana setiap iklan perlu mendapat kelulusan MPPD dan bahasa digunakan juga dirujuk terlebih dahulu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan individu menaikkan iklan tanpa kebenaran MPPD selain penggunaan bahasa rojak pada papan perniagaan dan papan iklan mereka.

Abd Wahab berkata, MPPD turut akan mempertingkatkan usaha membanteras iklan dan papan tanda yang tidak mematuhi peraturan dengan mengenakan tindakan undang-undang serta menurunkan papan tanda tersebut.

“Ia adalah sebahagian usaha untuk menjulang usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. Iklan untuk paparanrakyat negara ini sewajarnya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya ditambah lagi Port Dickson adalah kawasan tumpuan pelancong,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, setakat ini, belum ada manamana individu atau pemilik perniagaan yang dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan tertakluk di bawah undang-undang papan iklan.

“Namun perkara ini dipandang serius dan penguatkuasaan akan dilaksanakan,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: