25 Mei 2012

Ibu, anak jadi tebusan 14 jam

4 Rejab 1433H. [MOD] -

LELAKI yang mengancam membunuh anak dan ibunya sendiri diberkas di Jalan Sui Ting, Sungai Teku, Sibu, semalam.
Polis tembak suspek tamat drama

SIBU: Seorang lelaki bersenjatakan sebilah pisau menjadikan anak lelaki dan ibunya sendiri sebagai tebusan selama 14 jam sambil mengancam membunuh mereka dalam kejadian di Jalan Sui Ting, Sungai Teku di sini, semalam.

Kejadian mencemaskan itu bermula pada jam 7 malam kelmarin di rumah mereka dan hanya berakhir menjelang 9 pagi semalam selepas polis berjaya menembak suspek menggunakan pistol Taser.

Difahamkan suspek bertindak demikian selepas bertengkar dengan ibunya berusia 49 tahun, sebelum dia tiba-tiba mengambil sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 33 sentimeter dari dapur dan terus memegang anaknya berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata suspek tidak membenarkan anak dan ibunya keluar dari rumah sambil mengancam membunuh mereka jika melanggar arahannya.

“Wanita itu cuba mententeramkan anak lelakinya itu, namun gagal.
Bagaimanapun, adik perempuan kepada ibu suspek yang tinggal berhampiran, menyedari kejadian itu dan menghubungi polis jam 1 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Shafie berkata, polis tiba di tempat kejadian dan cuba mententeramkan suspek, namun turut menemui jalan buntu.

“Malah, suspek bertindak lebih agresif dengan meletakkan pisau di leher anaknya sambil menjerit-jerit menghalau polis. Usaha memujuknya berterusan sehingga jam 9 pagi tadi (semalam) sebelum dia ditahan selepas polis menembaknya di badan dengan pistol Taser.

“Lelaki itu diberikan rawatan oleh paramedik yang turut berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Pisau yang digunakannya dalam kejadian itu turut dirampas, manakala kedua-dua mangsa tidak cedera,” katanya.

Polis akan memohon perintah reman ke atas suspek hari ini dan dia juga sudah dibawa menjalani pemeriksaan air kencing berikutan polis turut menjumpai beberapa tiub straw dipercayai mengandungi syabu di rumahnya.

Shafie mengesahkan suspek mempunyai rekod jenayah termasuk pecah rumah, samun, gaduh, curi kereta dan rompakan dengan kali terakhir dia ditangkap pada Februari lalu.

utusan/-

Tiada ulasan: