25 Mei 2012

Pemuda tenat ditikam, ditetak

4 Rejab 1433H. [MOD] -

PASIR PUTEH - Hasrat seorang pemuda untuk meminta pertolongan daripada peniaga kedai runcit tidak kesampaian apabila dia kini tenat akibat ditikam dan ditetak oleh dua lelaki di Cabang Empat Cherang, Kota Bharu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kejadian yang berlaku pada jam 10 malam pada Selasa lalu menyebabkan mangsa yang berumur 27 tahun berasal dari Kota Bharu kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

”Ketika kejadian mangsa dikatakan lari masuk ke sebuah kedai runcit milik peniaga Cina untuk meminta bantu akibat dikejar dua suspek menggunakan parang dan pisau.

”Belum sempat mangsa meminta pertolongan dua suspek itu terus menikam dan menetak mangsa di kepala, perut dan peha kanan sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Pasir Puteh di sini, semalam.

Sebelum itu Mazlan bersama anggotanya mengadakan Program Walkabout di Pasar Mingguan di sini, dalam usaha mendekati orang ramai.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di sebuah kedai roti kini dirawat di HUSM dan masih dalam keadaan tenat.

Mazlan berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui motif kepada kejadian itu berlaku sehingga hampir meragut nyawa.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mencedera parahkan seseorang dengan senjata hingga maut.

”Kami merayu orang ramai supaya tampil memberi maklumat untuk membantu polis bagi mengesan kedua-dua suspek iaitu lelaki berumur 20an.

”Hanya mangsa sahaja tahu tentang kejadian itu kerana ahli keluarganya juga tidak mengetahui motif kejadian tetapi mangsa masih tenat dan tidak boleh diganggu,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: