07 Mei 2012

Gurauan terakhir abang

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI – Seorang adik tidak tidak menyangka kehadiran abangnya ke rumah di Taman Bersatu, Sungai Petani kelmarin adalah pertemuan terakhir mereka apabila abangnya itu maut berikutan terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Kuala Ketil-Sungai Petani kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

A Ananthan, 54, berkata, abangnya, A Subramaniam, 62, sering ke rumahnya pada waktu terluang dan kelmarin Subramaniam datang menjemput kedua anak perempuan pulang ke rumah setelah menghabiskan masa bersama anaknya sempena hujung minggu.

“Dia sering berjenaka ketika bersembang dengan keluarga dan anak-anak saya.

“Tak sangka semalam adalah gurauan terakhir yang akan menjadi kenangan buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Menurutnya, sikap Subramaniam kelmarin tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik malah dia kelihatan tegap dan bergaya seperti biasa.

Ananthan berkata, abangnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan datang ke rumah petang kelmarin dengan berpakaian kemas dan tidak ketinggalan memakai cermin mata hitam yang menjadi kesukaannya.

“Dia memang kerap datang ke rumah saya memandangkan lokasi rumahnya di Taman Sri Wang adalah berdekatan antara satu sama lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, jurucakap polis berkata, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Ketil menuju ke Pekan Sungai Petani bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil yang masuk ke laluan bertentangan.

“Kejadian berlaku di hadapan Pejabat Pos Kampung Raja. Mangsa cedera parah di bahagian kepala dan maut di lokasi kejadian,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSAH untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk upacara pengebumian yang akan dijalankan hari ini sementara pemandu dan penumpang yang cedera turut dibawa menerima rawatan lanjut di HSAH.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian

Tiada ulasan: