07 Mei 2012

Parlimen dibubar selepas sambutan 66 tahun Umno?

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 7 Mei: Ahli jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membubarkan parlimen secara mengejut sejurus selepas sambutan ulang tahun Umno ke 66 minggu hadapan.

Katanya, beliau mendapat maklumat Najib tidak akan menangguhkan lagi pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang dijangka pada bulan Jun ini juga berdasarkan perkembangan semasa.

“Kes skandal rasuah kapal selam Scorpene RM3 bilion yang dikaitkan dengan Najib yang sedang dibicarakan di Peranchis akan memberi kesan jika PRU diadakan lebih lewat.

“Kita jangkakan kerajaan juga sudah menghadapi masalah kewangan setelah pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia yang lebih banyak menimbulkan kontroversi kerana ada yang tidak puas hati tak dapat,” katanya.

Jelasnya, isu himpunan Bersih 3.0 yang diramalkan memberi kesan negatif kepada kerajaan kerana keganasan polis terpaksa dilupakan Najib berikutan beberapa isu mendesak itu menyebabkan tekanan supaya PRU terpaksa diadakan dalam masa terdekat.

Idris menjelaskan demikian semasa berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang Kali Ke-30 di Darul Amin, Sungai Gau dekat sini, semalam.

Tambah Idris, Umno akan mengadakan perhimpunan raksasa di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena sambutan ulang tahun ke-66 Umno pada 11 Mei bagi menunjukkan kekuatan parti itu kepada umum dan kemungkinan parlimen dibubar 14 Mei.

“Jadi dalam masa terdekat ini kita mesti menggembelengkan segenap peluang yang ada untuk menarik sokongan orang Melayu dan kita terangkan bagaimana kita boleh menjaga Melayu lebih daripada Umno,” tegasnya.

Mengenai Pemuda, Idris berkata pentingnya sayap tersebut kepada parti pada masa ini ialah kerana fikrah yang jelas, menguasai teknologi bermaklumat, masih bertenaga untuk dimanfaatkan parti dari segi fizikal dan masih kurang beban untuk komited dengan program.

Jelasnya lagi, menurut kajian majoriti golongan muda pada masa ini bersama Pakatan Rakyat dan ini dibuktikan jumlah yang besar menghadiri himpunan Bersih baru-baru ini.

Sementara itu Idris berkata pengguna facebook di negara ini menjangkau 9 juta orang dan beliau menjangkakan kuasa tersebut mampu mengalahkan BN dalam PRU akan datang sebagaimana kuasa blog menghukum parti itu pada PRU 2008 dulu.

Katanya, dapat diperhatikan dengan jelas laman facebook dapat menyaingi isu-isu yang menjadi propaganda Umno dan kerajaan melalui media tradisional kerana maklumat disampaikan lebih pantas.

Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Al-Hafiz yang berucap sebelum itu mengarahkan pemuda bersiap siaga menjaga bendera-bendera PAS kerana beliau menerima maklumat bendera yang tergantung di temapat strategik sekitar Jengka akan diturunkan sempena lawatan Najib ke Jengka 8 pada 8 Mei ini untuk mengumumkan durian runtuh kepada peneroka-peneroka Felda.

Dalam majlis yang sama selepas itu, Pemuda PAS Pahang memberi anugerah kepada tokoh Pemuda Amal, pengusaha Pasti yang berjaya dan guru-guru Pasti yang cemerlang di negeri ini.

Harakah Daily

Tiada ulasan: