07 Mei 2012

Ahli PAS perlu tonjol kebaikan Islam

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: "Inilah tanggungjawab kita, kita tonjolkan PAS lah yang berjuang menyeru kepada kebaikan dan beriman kepada Allah. PAS harus dilihat penaung untuk semua manusia sama ada Islam atau bukan Islam," demikian seru Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Ketika memberi ucapan penutup pada Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan, beliau berkata, gerak kerja sukarelawan oleh ahli-ahli PAS sudah mula dihormati semua pihak.

Beliau merujuk dalam insiden perhimpunan Bersih 3.0, di mana sukarelawan Unit Amal PAS sudah menjadi buah mulut semua orang apabila anggota ini memperlihatkan keprihatinan mereka dalam menjaga keselamatan peserta himpunan tempoh hari.

"Dalam siri perhimpunan Bersih 3.0, 2.0 sebelum ini, peserta himpunan yang jatuh longkang, pengsan, sesak nafas kena gas, mereka inilah (Unit Amal) orang pertama yang memberi bantuan. Sukarelawan kita sudah dihati orang ramai.

"Malah, wanita berbangsa Cina yang terkena gas pada himpunan lepas di mana beliau dipapah oleh muslimat kita. Wanita itu menangis bukan kerana gas tetapi terharu apabila ada wanita beragama Islam bertindak memberi kasih sayang disaat dia menghadapi kecemasan," katanya kepada lebih 400 peserta konvensyen yang berlangsung di KUIZM semalam.

Tambahnya, kerja-kerja amal ini dituntut dan dipelopori dalam kerajaan Islam selain mempertahankan prinsip-prinsip istiqmah, sabar , ikhlas dalam perjuangan bersama Islam.

"Kita berlawan dengan Umno BN dalam masa yang sama kita sedang bersaing dengan DAP, dan PKR. Kita perlu tonjolkan prinsip dan perjuangan yang kita pegang," katanya.

Melihat fenomena artis dan selebriti yang berani mendekati PAS, Mohamad Sabu berkata, golongan ini membantu dan menggilap PAS di mata masyarakat tetapi teras kepada perubahan dan 'road map' ke Putrajaya adalah ahli-ahli PAS.

"Terasnya adalah tuan-tuan. Kitalah yang meneruskan perjuangan ini. Insyallah prinsip yang kita pegang ini membolehkan kita ke Putrajaya," katanya yang diikuti laungan 'Allahuakbar' oleh peserta yang hadir.

Turut bersama Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohammad Nor Mohd yang menyampaikan panji-panji kepada beberapa pimpinan kawasan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Harakah Daily

Tiada ulasan: