07 Mei 2012

Kereta, 13 tong diesel disita

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TAIPING - Hasil maklumat orang ramai mengenai penyelewengan minyak diesel bersubsidi, satu operasi dijalankan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Taiping di pinggir Jalan Kampung Dew, Simpang.

Ketua PPDNKK Cawangan Taiping, Basaruddin Mohiyuddin berkata, operasi berkenaan dijalankan ke atas pemandu-pemandu lori yang menjual minyak diesel bersubsidi kepada individu tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, operasi berkenaan diketuai Penolong Penguatkuasa, Kamarul Anaz bersama beberapa pegawai penguatkuasa yang lain.

“Ketika pemantauan diadakan, kami menemui sebuah kenderaan yang diletakkan di pinggir jalan dalam keadaan bonet belakang terbuka.

“Hasil pemerhatian kami ke atas kenderaan itu, sejumlah 13 tong minyak diesel terdapat dalam kereta tersebut sementara pemilik lari mengelakkan diri daripada ditangkap,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kesemua minyak diesel dan kenderaan itu disita serta dibawa balik ke Pejabat PDNKK.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan pemilik kenderaan tersebut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Satu laporan polis turut dibuat berhubung sitaan tersebut.

“Sehubungan itu, diminta pihak majikan memantau aktiviti pemandu lori syarikat supaya tidak melakukan penyelewengan diesel yang turut merugikan syarikat dan kerajaan,” katanya.

Basaruddin berkata, PPDNKK Taiping akan terus giat membanteras penyelewengan diesel sehingga ke akar umbi.

Sinar Harian

Tiada ulasan: