07 Mei 2012

Rempuh asap tebal selamat nenek

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KEPALA BATAS - Keberanian Nur Fazliza Mohd Fauzee, 19, yang sanggup masuk semula ke dalam rumah yang dipenuhi asap tebal untuk menyelamatkan neneknya yang berada di tingkat atas selepas rumah didiami mula terbakar semalam mendapat pujian ahli keluarga dan penduduk Kampung Paya Keladi Hujung di sini.

Ini kerana tindakan pantas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau itu berjaya menyelamatkan nyawa neneknya yang tidak mampu bergerak kerana mengalami sakit tua.

Ketika kejadian pada jam 2.45 petang semalam, anak kedua kepada pasangan Mohd Fauzee Ali, 51 dan Fauziah Jamaluddin, 46, itu berehat di ruang tamu bahagian bawah rumah separuh batu dan kayu itu, manakala neneknya, Halimah Awang ,76, berada dalam bilik di tingkat atas rumah berkenaan.

Ahli keluarga lain yang terdiri daripada bapa, seorang kakitangan Bernas Paya Keladi, abang dan empat adiknya tiada di rumah, manakala ibunya tinggal berasingan selepas berpisah dengan bapanya.

“Sebaik hendak melelapkan mata saya terdengar letupan seolah-olah seperti bunyi mercun dari arah hujung kepala yang menempatkan kotak fius penyaluran bekalan elektrik.

“Kotak fius berkenaan mula mengeluarkan asap membuatkan saya bingkas bangun dan berlari keluar dengan niat meminta pertolongan jiran,” katanya.

Nur Fazliza berkata, selepas beberapa saat berada di luar rumah dia melihat kepulan asap hitam mula memenuhi ruang tamu dan terkejut apabila mendengar suara neneknya meminta tolong kerana kelemasan akibat asap tebal memenuhi rumah.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus meluru masuk ke dalam rumah dan mendapatkan nenek ditingkat atas sebelum bertindak mendukungnya meredah asap dan berlari keluar sambil menjerit rumah terbakar beberapa kali.

“Syukur alhamdulillah selepas itu beberapa orang jiran lelaki datang dan membantu serta mengarahkan kami berada jauh dari rumah yang telah marak dimakan api,” katanya.

Kebakaran itu membuatkan keluarga Nur Fazliza mengalami kerugian mencecah RM100,000 apabila rumah, semua peralatan dan sebuah kereta musnah terbakar dan gagal diselamatan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba, Pegawai Bomba Kanan 2, Abdul Azizi Ismail, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu pada jam 2.45 petang semalam.

“Bersama dua jentera dan lapan anggota yang turut dibantu lima ahli Bomba Sukarela dari Kepala Batas pihak kita berjaya mengawal api dari mereka selepas lima minit berada di lokasi.

“Namun, disebabkan api marak lebih awal sebelum ketibaan kami, rumah itu musnah terbakar dan pihak kita sedang menjalankan siasatan mengenai puncanya,” katanya.

Semasa ditemui Nur Fazliza berseorangan kerana semua ahli keluarganya menemani neneknya yang mengalami sesak nafas mendapatkan rawatan di sebuah klinik berdekatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: