15 Jun 2012

Lagi kematian di Syria

25 Rejab 1433H. [MOD] -

GAMBAR menunjukkan kawah dan sebuah kenderaan hangus dalam letupan bom di pinggir Damsyik semalam.

DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam keganasan di seluruh Syria termasuk 10 orang di wilayah Homs, tengah negara berkenaan semalam.

Mangsa yang lain pula maut dalam beberapa serangan bom kereta di sini dan di bandar Idlib, barat daya Syria.

Beberapa saksi berkata, seorang pengebom berani mati meletupkan sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan di pinggir bandar raya ini dengan menyebabkan 14 orang cedera dan sebuah makam suci pengikut Syiah mengalami kerosakan.

Agensi berita rasmi SANA melaporkan, kenderaan itu meletup di dalam sebuah garaj pada jarak 50 meter dari makam Saidatina Zainab.

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Syria menyatakan, sebuah bom kereta yang meletup di bandar Idlib disasarkan ke atas sebuah pos kawalan tentera menyebabkan sejumlah askar terbunuh dan cedera.

Menurut pertubuhan berkenaan, seramai lapan orang termasuk tiga pejuang pemberontak maut dalam beberapa pertempuran dengan tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad di bandar Homs.

Perkembangan itu berlaku ketika Setiausaha Luar Britain, William Hague menggesa Rusia dan Iran menggunakan pengaruh masing-masing di Syria bagi membantu menamatkan pemberontakan di negara itu.

Pemberontakan itu berlaku sejak 15 bulan lalu bagi menentang kepimpinan Bashar.

Hague membuat gesaan tersebut dalam satu pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Rusia dan Iran di Kabul, Afghanistan semalam.

Russia yang merupakan sekutu kuat Syria, enggan berhenti membekalkan senjata kepada rejim Bashar yang terbabit dalam pertempuran berdarah dengan para pemberontak sejak kebangkitan rakyat Syria bermula pada Mac 2011.

Setakat ini beberapa pemerhati menyatakan, lebih 14,000 orang terbunuh dalam konflik di negara Asia Barat itu. - Agensi

Tiada ulasan: