15 Jun 2012

Mesin ATM lesap 3 minit

25 Rejab 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA: Empat perompak mengambil masa kurang tiga minit melarikan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) milik sebuah bank di Stesen KTMB Subang Jaya, di sini, mengakibatkan kerugian hampir RM50,000 awal pagi semalam.

Kumpulan perompak terbabit dikesan menyembur cat hitam pada kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mengikat mesin ATM berkenaan dengan kabel elektrik dan menariknya menggunakan kenderaan berat.

Kejadian disedari seorang kakitangan stesen itu yang memulakan tugas kira-kira jam 6 pagi apabila mendapati mesin ATM berhampiran pintu masuk stesen terbabit hilang sebelum melaporkannya kepada polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua, berkata walaupun satu CCTV sudah disembur cat hitam, pergerakan suspek masih dapat dikesan menerusi rakaman CCTV lain di lokasi terbabit.

Katanya, pemeriksaan CCTV mendapati suspek berusia 20-an hingga 30-an memakai topi tetapi tidak menutup muka. Mereka dikesan memasuki kawasan itu jam 3.55 pagi dan mengambil masa kurang tiga minit bagi melarikan mesin ATM berkenaan.

“Selepas menanggalkan mesin ATM itu dengan menariknya menggunakan kabel elektrik yang diikat pada kenderaan berat, empat perompak kemudian mengheret mesin itu sejauh lima meter sebelum melarikannya dengan kenderaan mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian tiada pengawal keselamatan ditempatkan di stesen terbabit kerana pengawal keselamatan sebelum ini sudah diberhentikan awal bulan ini.

berita harian/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kata Menteri Dalam Negeri,index jenayah di Malaysia dah turun???Malaysia negara selamat untuk dilawati....yes,penjelasan please.................