15 Jun 2012

Ugut bapa dengan pisau

25 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang nelayan yang terdesak mendapatkan wang menjelaskan hutang ah long sanggup menjadikan bapa kandungnya sebagai sasaran bagi melepaskan dirinya daripada terus diburu geng ahlong berkenaan.

Dia bukan sahaja memaksa bapanya yang hanya bekerja sebagai bilal kampung, menyerahkan wang RM1,200 dalam sekelip mata, malah lebih melampau, dia sanggup mengugut menggunakan pisau jika bapa malang itu enggan menunaikan permintaannya.

Bagaimanapun, tindakan si anak, Ahmad Rashidi Hisham Abd Razak, 33, menerima padah setelah Mahkamah Majistret, di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara selama lima hari dan denda RM800 atau tujuh hari penjara jika gagal menjelaskan denda.

Hukuman dijatuhkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas Ahmad Rashidi Hisham mengaku salah melakukan ugutan jenayah dengan mengamuk dan memegang sebilah pisau terhadap ayahnya, Abd Razak Salleh, 72, di kediaman mereka di Kampung Duyong Besar, di sini, 10 Jun lalu kira-kira jam 1 tengah hari.

Dia yang bakal menimang cahaya mata pertama dua bulan lagi mengaku bersalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu, yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, Ahmad Rashidi Hisham telah meminta wang daripada bapanya sebanyak RM1,200 untuk menjelaskan hutang ah long.

Bagaimanapun, ayahnya enggan memberikan wang yang diminta menyebabkan dia naik angin dan terus mengamuk dengan membaling barang- barang di dalam rumah berkenaan serta mengambil pisau dan mengacukan ke arah bapanya itu.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku, bapanya terus membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, sejurus Ahmad Rashidi Hisham keluar dari rumah itu dan kirakira jam 3 petang, dia telah ditangkap.

Sinar Harian

Tiada ulasan: