15 Jun 2012

Tinggal sehelai sepinggang

25 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH – Empat keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka yang terletak sederet di Kampung Baru, Bukit Merah di sini, musnah dalam kebakaran petang semalam.

Salah seorang mangsa, Lau Kim Khi, 65, berkata, ketika kejadian jam 4.30 petang, dia berada di luar terkejut dimaklumkan oleh jiran menyatakan rumahnya terlibat dalam kebakaran.

Menurutnya, dia terkilan apabila wang loteri berjumlah RM7,000 yang dimenanginya beberapa hari lalu turut musnah dalam kejadian itu.

“Saya bergegas pulang ke rumah dan tergamam apabila melihat api sudah marak membakar rumah. Pada masa sama, beberapa jiran cuba untuk memadamkan kebakaran.

“Saya bernasib baik apabila isteri selamat dalam kejadian itu. Semua barangan termasuk pelbagai barangan antik musnah dalam kejadian ini," katanya.

Katanya, dokumen pengenalan diri juga tidak dapat diselamatkan.

Seorang lagi mangsa, Chiew Heng Chong, 53, berkata, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, dia melihat asap hitam dari kawasan rumahnya nya dan merasakan ada rumah terbakar tetapi dia tidak menyangka ianya melibatkan rumahnya.

“Saya bergegas pulang untuk mencari isteri dan lima anak yang lain kerana bimbang keselamatan mereka.

Nasib baik, mereka selamat namun, semua kelengkapan rumah musnah sama sekali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Zainasrie Zainal berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam
4.45 petang.

Menurutnya, seramai 27 anggota bersama tiga jentera dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dan Simpang Pulai dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

“Kami turut dibantu 40 anggota Bomba Sukarelawan Pasir Pinji dan Menglembu.

“Ketika sampai, api sedang marak dan mudah merebak disebabkan rumah papan dan berjaya dikawal kira-kira 50 minit kemudian.

Kebakaran itu memusnahkan keseluruhan empat rumah terbabit. Punca sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian dimaklumkan kejadian itu berpunca daripada kawasan rumput kering yang terbakar secara tiba-tiba akibat cuaca panas berhampiran empat rumah tersebut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: