15 Jun 2012

Lelaki minum ubat cuci tandas

25 Rejab 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai meminum ubat pencuci tandas akibat tekanan perasaan setelah ditinggalkan isterinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam kelmarin, mangsa ditemui rakannya dalam keadaan terbaring dengan cecair berbuih keluar dari mulut di rumahnya di Jalan Fattes, Tanjung Tokong di sini.

Menurut sumber, rakan mangsa memecah masuk rumah berikutan tiada orang di rumah itu kerana pintunya terkunci dari dalam dan terdapat botol peluntur di tepi mangsa.

“Rakannya dengar mangsa menjerit dan bila pecah masuk mulut mangsa didapati berbuih,” katanya.

Difahamkan, kakak mangsa mengesyaki mangsa yang kini tinggal bersama ibunya bertindak demikian kerana tertekan akibat ditinggalkan isterinya.

Isteri mangsa ialah seorang warga China dipercayai balik ke negara asal selepas mendirikan rumah tangga dengan mangsa hampir setahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata mangsa akan disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan bunuh diri.

“Mangsa kini stabil dan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: