15 Jun 2012

Prandelli optimis The Azzuri akan mara ke suku akhir

25 Rejab 1433H. [MOD] -

NASIB Itali pada kejohanan Euro 2012 bagaikan tiada kesudahan apabila masih gagal untuk meraih kemenangan pertama dalam persaingan Kumpulan C.

Pada aksi pertama, Itali hanya mengutip satu mata setelah seri dengan Sepanyol manakala impian pasukan The Azzuri untuk menghidupkan impian ke suku akhir 'terbantut' setelah terikat 1-1 dengan Croatia awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Paling mengecewakan reputasi mereka sebagai pasukan pilihan yang dijangka dapat menghangatkan lagi kejohanan kali ini tidak menyerlah. Sebalinya mempamerkan corak permainan yang hambar.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan nasib Itali sama dengan Belanda apabila kini berada di ambang penyingkiran dan menjadi pasukan awal untuk mengucapkan selamat tinggal.

Bagaimanapun, jurulatih The Azzuri, Cesare Prandelli masih menganggap pasukan mereka akan berpeluang untuk mara ke suku akhir.

"Kami tidak boleh menganggap semuanya sudah berakhir. Meskipun berada dalam laluan yang sukar, kami masih ada peluang.

"Sekiranya kami berjaya menewaskan Republik Ireland dengan jaringan yang banyak, tidak mustahil kami boleh mara.

"Jadi, kami berharap apa yang saya katakan akan menjadi kenyataan," kata Prandelli sambil berharap Sepanyol akan mengalahkan Croatia untuk membuka laluan mereka ke suku akhir.

Pada perlawanan semalam, Itali berpeluang untuk menyalakan peluang ke suku akhir setelah mendahului Croatia. Bagaimanapun gagal bertahan apabila Mario Mandzukic menjadi wira Croatia untuk menyamakan kedudukan.

"Memang kami perolehi banyak peluang. Namun tiada jaringan berjaya dihasilkan. Nasib tidak memihak kepada kami untuk mengutip tiga mata penuh.

"Apa pun kami masih lagi ada peluang untuk mara, dan kami perlu berjuang pada titik-titik akhir serta percaya terhadap diri sendiri," jelasnya lagi.

Sementara itu, Croatia yang berjaya mengikat Itali pada saat-saat akhir, jelas menggembirakan jurulatih mereka apabila berjaya menyekat peluang Itali untuk meraih tiga mata penting.

Slaven Bilic berkata, "pemain saya menunjukkan corak permainan yang sangat berkualiti."

"Mereka berjaya mengawal tekanan apabila berhadapan dengan pasukan yang hebat.

"Jelas mereka berjaya menunjukkan satu sikap juang yang positif untuk terus mara dalam saingan Euro 2012 kali ini.

"Jadi, perlawanan terakhir menentang Sepanyol nanti, kami perlu bekerja keras kerana pertemuan itu menentukan 'hidup mati' kami dalam saingan kali ini," kata Bilic yang tetap yakin pasukan mereka akan mara ke suku akhir.

Sinar Harian

Tiada ulasan: