15 Jun 2012

Polis berkas 7 individu disyaki terlibat kes culik peniaga pasir

25 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Polis Selangor memberkas lima lelaki dan dua wanita kerana disyaki menculik seorang peniaga pasir serta pekerjanya di Ijok, Kuala Selangor dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata kedua-dua mangsa diculik pada 11 Jun lepas kira-kira 2 petang berhampiran kilang pasir milik peniaga itu.

Beliau berkata kumpulan penculik kemudian meminta wang tunai berjumlah RM2 juta daripada anggota keluarga peniaga terbabit sebagai wang tebusan bagi membebaskan kedua-dua lelaki berkenaan.

Polis, yang dimaklumkan mengenai kejadian culik itu pada 12 Jun (Selasa) kira-kira 12.15 pagi, menubuhkan pasukan petugas untuk mengesan peniaga dan pekerjanya, masing-masing berumur 31 dan 45 tahun, katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dibebaskan pada 9.30 malam Selasa di sebuah kawasan di Ijok, Kuala Selangor selepas kumpulan penculik itu memperoleh wang tebusan.

"Penculik meminta wang tunai sebanyak RM2 juta, namun jumlah yang mampu dibayar adalah sebanyak RM850,000," katanya.

Tun Hisan berkata atas tindakan pantas polis, tujuh suspek berumur lingkungan 21 hingga 47 tahun berjaya diberkas di beberapa kawasan iaitu di Bukit Raja, Kapar, Meru, Kota Damansara, Sentul dan Taiping.

Beliau berkata suspek pertama berumur 47 tahun ditahan di Meru iaitu pada hari yang sama mangsa dibebaskan manakala suspek terakhir (ketujuh) berumur 34 tahun diberkas pada 9.40 malam semalam di Taman Kapar, Klang.

"Tiada sebarang kecederaan yang dialami oleh kedua-dua mangsa culik dan siasatan awal mendapati suspek yang berumur 47 tahun itu mempunyai 27 rekod jenayah lampau manakala suspek berusia 34 tahun mempunyai enam rekod jenayah yang kesemuanya membabitkan kes jenayah berkaitan curi dan samun," kata Tun Hisan.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis turut merampas beberapa barang milik kesemua suspek termasuk empat buah kereta, 14 buah telefon bimbit dan barang kemas.

Selain itu, katanya polis turut merampas semula sebahagian wang tebusan berjumlah RM616,520 yang masih belum sempat digunakan kumpulan penculik itu.

"Buat masa ini siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif penculikan dan bagi mengesan jika terdapat lagi individu yang terlibat atau saki baki ahli kumpulan ini," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman sehingga 19 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: