12 Julai 2012

Cara tahan 31 penduduk Cameron dikesali

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) melahirkan kekesalan mereka terhadap sikap pihak berkuasa yang menahan 31 penduduk Cameron Highland yang berhimpun dengan aman di depan Pejabat MB Pahang kelmarin.

(Penduduk Cameron membuat khemah di depan pejabat MB Pahang sebelum mereka ditahan polis - gambar Pahang Daily)

Bagi Suaram, tindakan polis membebaskan mereka di saat-saat akhir menjelang tempoh tahanan reman tamat tidak wajar.

"Seolah-olah pihak berkuasa menunggu arahan dan tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan," kata jurucakap Suaram dalam satu kenyataan mereka hari ini.

Selasa 10 Julai baru-baru ini, 33 penduduk Cameron Highland berhimpun secara aman di depan pejabat MB Pahang bagi menuntut janjinya yang mahu menyelesaikan masalah tanah dan kediaman mereka yang terancam.

Mereka cuba berunding dengan polis untuk membolehkan mereka menunggu MB yang telah berjanji kepada mereka sebelum ini namun tidak berjaya.

31 dari mereka ditahan manakala dua yang dibebaskan adalah seorang Orang Asli dan seorang lagi lelaki tua.

"Seluruh episod ini membayangkan tangkapan ke atas penduduk ini dibuat berdasarkan arahan dan polis menunggu arahan apa dakwaan yang mahu dibuat ke atas mereka.

"Jadi kenapa mereka ditangkap? Ia jelas menunjukkan orang awam ditangkap dahulu sebelum pihak atasan membuat keputusan dan arahan apa yang hendak dibuat," kata R. Thevarajan, Koorditor Hak Keadilan Suaram.

Suaram difahamkan, 25 dari mereka ditahan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2011 kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa perhimpunan mereka.

Tahanan lelaki telah diugut untuk dibuat ujian air kencing di bawah Akta Dadah Merbahaya. Selepas itu mereka di dakwa dibawah Seksyen 90 Akta Polis 1971 kerana membuat kecoh di balai polis.

Namun akhirnya mereka dibebaskan dengan jaminan polis tanpa sebarang dakwaan.

"Suaram beranggapan polis keliru samada untuk mendakwa mereka atau tidak kerana mereka adalah penduduk miskin yang menghadapi masalah isu tanah, paksaan pindah dan perobohan rumah.

"Ketua Polis Negara perlu memberikan penjelasan bagaimana mereka dikendalikan termasuk oleh pegawai yang menguruskan kes di Balai Polis Kuantan bernama Mohd Jasmani," desak Suaram dalam kenyataannya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: