12 Julai 2012

Rusa jangan leka

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Jangan leka dan jangan pandang rendah kemampuan Sabah. Begitulah nasihat jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah kepada pemain skuad Rusa menjelang pertemuan kedua-dua pasukan Sabtu ini.

Azraai berkata, meskipun Sabah berada dalam kedudukan kedua terbawah Liga Super, skuad Badak itu tetap perlu dihormati.

Menurutnya, kemampuan Sabah terbukti dalam pertemuan menentang Selangor di Stadium Shah Alam kelmarin (Selasa).

“Meskipun mereka ketinggalan 0-3 kepada Selangor, mereka berjaya mengejar dan hanya kalah tipis 2-3. Ini sudah cukup membuktikan Sabah bukanlah pasukan yang boleh dipandang mudah.

“Mereka ada kekuatan mereka sendiri, lebih-lebih lagi perlawanan Negeri Sembilan menentang mereka adalah di Stadium Likas,” katanya.

Di atas kertas, skuad Rusa pada kedudukan keenam liga nyata bukan tandingan buat Sabah yang setakat ini hanya mampu mencatat enam kemenangan daripada 25 perlawanan.

Bagaimanapun, Azraai enggan membiarkan statistik itu melekakan anak buahnya, lebih-lebih lagi selepas persembahan mengecewakan Negeri Sembilan yang sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur, kelmarin.

Sambil menganggap persembahan menentang Kuala Lumpur sebagai mengecewakan, Azraai mahu pemain skuad Rusa memberikan tumpuan penuh pada perlawanan terakhir menentang Sabah nanti.

“Walaupun ini perlawanan terakhir, saya mahu semua pemain memberikan sepenuh tumpuan kerana saya mahu pulang dari Sabah dengan tiga mata penuh.

“Ini bukan mudah, sebab itu saya mahu mereka berikan tumpuan penuh atas padang dan jangan leka,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: