12 Julai 2012

Kecewa Azizah terubat, raih dua emas

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

ATLET angkat berat negara, Azizah Fadzil yang mewakili Pulau Pinang berjaya menebus kekecewaan selepas gagal layak ke Olimpik dengan meraih dua pingat emas acara snatch dan clean & jerk bagi kategori 53kg wanita, semalam.

Azizah unggul dalam saingan itu setelah melakukan angkatan seberat 64kg kategori snatch dan 80kg bagi clean & jerk pada acara yang berlangsung di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah.

Atlet tuan rumah, Nurul Qistina Mohd Kenali meraih perak dengan angkatan 60kg (snatch) dan 74kg (clean & jerk) manakala Nur Fariesha Irwana Mohd Supian dari Kelantan di tempat ketiga dengan angkatan 59kg (snatch) dan 73kg (clean & jerk).

Namun, Azizah sedikit kecewa apabila gagal dalam percubaan mengangkat bebanan 77kg (snatch) dan 91kg (clean & jerk) untuk memecahkan rekod kejohanan.

“Memang sangat puas hati dapat sumbang pingat emas kepada Pulau Pinang. Tetapi saya kecewa sebab tidak dapat pecah rekod Sukma bagi kedua-dua kategori itu," katanya.

Sementara itu, Pahang meraih dua pingat emas dan dua perak bagi acara snatch dan clean & jerk kategori 48kg wanita, masingmasing menerusi Rosmah Abdullah dan Siti Zaleha Yusop.

Terengganu meraih dua pingat gangsa menerusi Syamimi Saleh. Rosmah melakar kejayaan bagi kedua-dua acara itu dengan angkatan 60kg (snatch) dan 68kg (clean & jerk) manakala Siti Zaleha di tempat kedua dengan angkatan 52kg (snatch) dan 67kg (clean & jerk).

Syamimi yang melakukan angkatan 51kg (snatch) dan 67kg (clean & jerk) terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Sinar Harian

Tiada ulasan: