12 Julai 2012

Majlis media sosial jangan bersifat politik

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Idea penubuhan majlis media sosial disambut baik PAS, bagaimanapun ia perlu menjadi satu platform yang benar-benar dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

Ia juga perlu dilihat bukan hanya untuk memantau media sosial membabitkan pembangkang kerajaan, tetapi turut memantau media sosial yang bercanggah dengan norma-norma murni.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata dengan pemantauan menyeluruh tanpa bersifat terpilih, idea ini perlu dilaksanakan secara serius.

"Mungkin ia idea politik, tapi kalau ia dijadikan platform yang betul-betul adil dan tidak berpihak, ia tiada masalah. Majlis sebegini pun wujud di negara-negara lain seperti Amerika.

Kita tidak mahu majlis ini hanya memantau tindakan pembangkang semata-mata, tapi dalam masa sama membiarkan sahaja 'pihak-pihak lain' berbuat apa sahaja," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim untuk menubuhkan sebuah majlis media sosial di negara ini bagi membincangkan pelbagai isu dan aspek, termasuk berkaitan undang-undang serta penggunaan media berkenaan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mencadangkan keahlian majlis itu perlu diwakili semua pihak, sama ada daripada kalangan kerajaan dan juga Pakatan Rakyat, selain NGO-NGO dan pihak-pihak berkaitan.

"Keahlian yang terbuka sebegini memberi ruang untuk semua pihak melontarkan pandangan bagi memastikan majlis itu satu platform yang serius dan tidak bersifat politik semata-mata, dan mampu memberikan manfaat bersama," tegas beliau lagi.

Rais dalam kenyataannya semalam, berkata majlis berkenaan juga boleh memainkan peranan dalam mempastikan kandungan media sosial di negara ini mencerminkan industri kandungan tempatan dan bukan semata-mata bergantung kepada negara lain.

Dengan adanya majlis itu juga, masyarakat akan mengetahui betapa pentingnya memahami apa yang menjadi salah di sisi undang-undang dalam dunia biasa adalah juga salah di sisi dunia siber.

Harakah Daily

Tiada ulasan: