12 Julai 2012

Hapus ISA: Transformasi Najib tipu rakyat

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa amat kesal kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang begitu zalim masih terus digunapakai oleh kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tanpa berlaku istilah ‘transformasi’ atau ianya dihapuskan sehingga kini.

“Dan kami menyatakan sokongan agar mendesak kesemua baki 45 tahanan dibebaskan dengan segera,” kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss (gambar).

Malah, katanya DPPM ingin bersama turut berhimpun membantah kezaliman ISA yang telah dirancang pada 15 Julai ini di hadapan Kem Tahanan Kamunting, Taiping jam 11.00 pagi.

Menurutnya, DPPM yakin rakyat yang menentang kezaliman ISA akan turun bersama bagi menyuarakan bantahan dan kekejaman bukan sahaja kepada mangsa tetapi kepada seluruh ahli keluarga mangsa sehingga kini.

Justeru, katanya DPPM mengharapkan rakyat dan terutamanya anak muda bangkit menzahirkan bantahan bersama kelak.

“Marilah sama-sama kita tunjukkan simpati terhadap semua mangsa dan ahli keluarga serta sokongan agar mereka semua dibebaskan dengan segera,” ujarnya.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, sudah tentu juga masyarakat antarabangsa tertipu dengan istilah ‘transformasi’ yang dijanjikan Najib terhadap akta lapuk lagi zalim itu perlu didedahkan.

Katanya, pendedahan baki tahanan ini bukti bahawa kezaliman ISA masih menjadi akta yang paling zalim yang masih dikekalkan sebenarnya.

Menurutnya lagi, rakyat umpama tertipu tentang penghapusan akta ini selama ini jika pendedahan mogok lapar yang dilancarkan oleh 45 orang tahanan yang masih berada di dalam kem tahanan tersebut diketahui umum juga akhirnya.

Beliau berkata, DPPM merancang untuk menjelajah seluruh negara untuk mendedahkan kezaliman ISA yang sebenarnya masih ‘kuat’ bertahan di dalam pemerintahan Najib selama ini.

“Kami akan mendedahkan kezaliman ISA ini oleh kerana kepimpinan Najib tidak menepati janji untuk menghapuskan akta zalim ini.

“Semua ini adalah pembohongan semata-mata bagi menutup suara rakyat!” tegasnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: