12 Julai 2012

Dipukul polis walaupun ikut arahan - saksi

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Julai: Seorang lagi saksi memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bahawa beliau dipukul lapan hingga sepuluh orang polis dalam perjalanan pulang selepas menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Arsyad Abas, 32 berkata, walaupun beliau menurut arahan polis supaya menukar baju T Bersih kepada baju T biasa, beliau tetap dipukul di kawasan Masjid India sebelum diheret ke Kelab Diraja Selangor, Dataran Merdeka.

"Saya sudah bagitahu saya dalam perjalanan pulang, tapi mereka terus memukul saya. Saya dalam keadaan duduk dan nak tukar t-shirt kuning saya kepada t-shirt biasa, jadi saya tak nampak muka polis yang memukul tapi saya tahu minimum lapan orang polis," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam.

Menurut Arsyad lagi, polis turut menyelongkar begnya dan mengambil barang-barang peribadinya berupa Samsung Tab 7.0, jam tangan, pemacu kilat USB (pendrive), dan baju T yang belum sempat ditukar.

"Barang-barang saya pun turut dikebas polis tapi beg masih ada dengan saya," katanya sambil menambah beliau tidak mendapat kembali barang-barangnya itu sehingga.

Sewaktu diheret ke Dataran Merdeka, polis katanya turut menggelarkan beliau dan yang lain sebagai 'barua Anwar'.

Terima lima jahitan

Sebelum dimasukkan ke dalam lori polis, Arsyad memberitahu, beliau ditumbuk di muka menyebabkan kening kanannya pecah dan terpaksa menerima lima jahitan.

Gambar mukanya yang berlumuran darah dan baju T yang bertompok darah juga ditunjukkan sewaktu pendengaran.

Dakwa Arsyad, polis seperti melepaskan geram kepadanya selepas mendengar khabar angin kononnya salah seorang daripada anggotanya meninggal dunia ketika bertugas di perhimpunan Bersih.

"Saya pun terkejut bila polis beritahu saya, mereka bertindak demikian sebab salah seorang anggotanya meninggal dunia," katanya.

Beliau bersama yang lain dibawa ke Pulapol dan pihak sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) membawa semua mangsa yang cedera ke hospital Besar Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Hari ini merupakan hari kedua pendengaran awam di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Harakah Daily

Tiada ulasan: