12 Julai 2012

Setelah selesai Himpunan Hijau

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

Dengan berlansungnya Himpunan Hijau PAS Menuju Puterajaya peringkat Wilayah Persekutuan pada Sabtu, 14 Julai ini, sementara peringkat Selangor dan Negeri Sembilan esoknya, Ahad 15 Julai berakhirlah Himpunan Hijau seluruh Semenajung setakat ini.

Jika dijumlahkan semua peserta di Himpunan yang bermula di Alor Setar itu hampir mencecah setengah juta orang, suatu jumlah yang menggerunkan musuh politik PAS/Pakatan Rakyat.

Namun gelombang hijau yang dicetuskannya diharapkan akan berterusan dengan tsunami politik dalam PRU Ke-13 nanti. Ini harapan kebanyakan rakyat Malaysia yang menunggu tarikh pilihan raya umum dari sehari ke sehari, malah dari bulan ke bulan tidak juga tiba.

Ini bermakna pemimpin Umno/BN sedang menghadapi dilema yang sangat besar untuk berdepan dengan para pengundi dengan pelbagai masalah mereka yang tidak mampu diselesaikan.

Himpunan Hijau PAS Menuju Puterajaya di Wilayah Persekutuan pada petang Sabtu, 14 Julai di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru ini akan menyaksikan pelbagai acara di sebelah petang dan mendengar ucapan pimpinan pusat di sebelah malam.

Sementara di Negeri Sembilan pada petang Ahad, 15 Julai ini bermula dengan berkumpul di Stadium Tuanku Abd Rahman, Paroi dan kemudian berarak menuju ke Dataran Al-Ikhwan, Johol.

Di Selangor, Himpunan Hijau akan diadakan di Stadium Kuala Selangor, waktu dan tarikh yang sama dengan pelbagai acara dari petang hingga ke malam dengan munajat dan ucapan pemimpin. Himpunan di Selangor itu ditambah dengan tema ‘Himpunan Hijau PAS Menuju Puterajaya – Pertahan Selangor’.

Dengan Himpunan yang telah dan sedang berlansung itu, rakyat dapat menyaksikan hasrat kebanyakan rakyat mahukan perubahan dalam PRU akan datang dengan harapan akan muncul kerajaan baru yang adil, bersih dari penyelewengan, rasuah dan segalanya.

Pada pendapat saya, kekuatan PAS berdasarkan dari jumlah yang hadir di Himpunan Hijau di seluruh negara ini sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja yang bersepadu dari semua sektor parti.
Sudah sangat jelas bahawa pendukung PAS semua peringkat telah bersuasah payah - dengan penat lelah dan wang ringgit sendiri -menyertai Himpunan tersebut, memancarkan komitmen mereka terhadap perjuangan parti.

Oleh itu tidak sukar untuk menggembleng segala kekuatan yang ada pada mereka dalam gerak kerja memenangkan PAS/Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang.

Selama ini mereka telah memperlihatkan semangat perjuangan dan pengorbanan yang sangat tinggi, mematuhi arahan pemimpin dalam apa keadaanpun. Oleh itu momentum semangat perjuangan mereka ini perlu dikekalkan.

Adapun pilihan raya ke-13 nanti adalah pilihan raya yang sangat sukar, sengit hingga dikatakan ‘ibu dari segala pilihan raya’, justeru ia diselubungi senarai pengundi yang masih tidak bersih dan berdepan dengan segala penyelewengan.

Pilihan raya kali ini dalam suasana di mana Lapan Tuntudan Bersih 2.0 dan 3.0 belum ditunaikan, kecuali penggunaan dakwat kekal di jari telunjuk. Tuntutan yang lain masih jauh, lebih-lebih lagi tuntutan supaya senarai pengundi dibersihkan, yang menjadi tuntutan teras Bersih 2.0 dan 3.0.

Bulan lalu dan beberapa minggu terakhir ini, saya berkesempatan meninjau banyak kawasan di Selangor dan Ahad lalu saya ke Negeri Sembilan mengadakan dialog penerangan di sana atas undangan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr. Rosli Yaakop.

Beberapa bulan lalu saya ke Johor Bahru, Pontian dan Kluang, meninjau sendiri suasana di negeri yang selama ini kononnya menjadi kubu kuat Umno. Ternyata, Johor sudah sangat berubah dari masa lalu dan peluang PAS/Pakatan Rakyat di sana untuk menang sangat besar.

Himpunan Hijau di Johor yang menyaksikan puluhan ribu rakyat menghadirinya dan sambutan rakyat Johor yang sangat luar biasa terhadap ceramah Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz di negeri itu bulan lalu menggambarkan keinginan yang sangat besar dari rakyat di Johor untuk melakukan perubahan dalam PRU akan datang.

Semua ini menunjukkan bahawa tembok kekuatan Umno di negeri itu mulai runtuh dan sukar dipertahankan, justeru pelbagai isu menyentuh kehidupan rakyat di sana telah timbul seperti isu tanah, harga barang yang mahal, isu perumahan, pendapatan nelayan yang merosot dan pelbagai lagi.

Sementara itu, kepulangan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub yang akan bertanding di Johor mencerahkan lagi peluang PAS untuk meraih kemenangan di sana. Beliau menemui pelbagai lapisan rakyat di Johor dengan begitu santun dengan style orang Johor yang sangat memikat. Inilah antara kelebihan Salahudin.

Di Melaka, walaupun dalam sejarahnya belum ada satupun calon PAS yang menang di sana, tetapi dengan perkembangan baru di negeri itu, ada tanda-tanda jelas kemungkinan ada calon PAS yang akan menang di negeri Hang Tuah itu.

Pesuruhjayanya, Haji Adly Zahari, timbalannya Ustaz Kamarudin Sidek, Ustaz Mohd Noor Omar dan Sofi Wahab bekerja keras dengan dibantu oleh pasukannya, Ketua Dewan Ulama' - Ustaz Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Pemuda - Haji Yuhaizad Abdullah, Ketua Dewan Muslimat - Hajjah Kintan Man, Setiausahanya - Asri Shaik Abdul Aziz, Bendahari - Husni Balis Ali, Ketua Penerangan - Ustaz Ashraf Mukhlis Minghat dan Pengarah Pilihanraya - Bahiki Ismail.

Menurut pemerhati, ada tanda-tanda jelas, calon-calon PAS akan mencapai kemenangan, kalaupun tidak semua, berdasarkan sambutan rakyat pada PAS di negeri ini jauh berbeza dari masa lalu.

Saya meninjau suasana ceramah Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Merlimau Melaka tidak lama dulu, menunjukkan sambutan luar biasa rakyat Melaka terhadap ceramah pembangkang. Menurut seorang penduduk di situ, kebanyakan yang hadir adalah orang tempatan, bukan orang luar.

Di Negeri Sembilan, saya bertemu dengan jentera penerangan PAS di sana yang jelas memperlihatkan kesungguhan mereka bekerja untuk mencapai kemenangan. Ada persepsi bahawa Negeri Johor dan Negeri Sembilan mempunyai harapan tinggi akan berlaku perubahan.

Maknanya, tsunami politik akan bermula dari selatan, mudah-mudahan
begitulah hendaknya.

Di Selangor, negari yang menjadi sasaran utama Umno/BN dalam PRU akan datang, menyaksikan persiapan PAS untuk mempertahankan negeri itu begitu bersungguh-sungguh.

Saya mengkagumi gerakan kerja jentera pilihan raya PAS Selangor di bawah pimpinan Cikgu Jaafar Shamsudin yang siang malam bekerja dengan begitu bersungguh-sungguh dan berstrategi.

Khabarnya, ada petugas dari luar Selangor belajar dari Chikgu Jaafar mengenai gerak kerja pilihan raya Selangor dan memang terserlah kecekapan beliau mengendalikannya.

Pada petang 15 Julai ini ita akan menyaksikan puluhan ribu orang yang akan menyertai Himpunan Hijau Menuju Putrajaya – Pertahan Selangor di Kuala Selangor yang akan dipenuhi pelbagai acara sejak petang hingga malam.

Selepas ini, pendukung PAS bersama umat Islam yang lain akan menyambut Ramadhan, namun kiranya, gerak kerja pilihan raya akan diteruskan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: