09 Julai 2013

NFC: Kerajaan sukar kutip baki dana RM163 juta


30 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dalam keadaan sekarang, dana RM163 juta yang telah dibelanjakan oleh NFC bolehlah dikira hangus dan tidak dapat dikutip lagi oleh kerajaan.

Demikian dinyatakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung pelantikan satu konsortium baru mengambil alih operasi projek yang sebelum ini diusahakan oleh NFC.

“Di sidang Dewan Rakyat ini, saya telah bertanyakan mengenai jumlah-jumlah aset yang telah disita dan diambil kembali dari NFC setakat ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. 



Kenyataan penuh seperti di bawah.



Saya merujuk kepada laporan terkini bahawa kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk melantik satu konsortium baru mengambil alih operasi projek yang sebelum ini diusahakan oleh NFC. 



Laman The Malaysian Insider turut melaporkan bahawa perjanjian itu tidak melibatkan operator baru bertanggungjawab ke atas hutang RM250 juta yang telah diberikan kepada NFC.



Ini menimbulkan persoalan baru mengenai kemampuan kerajaan mendapatkan semula jumlah RM250 juta yang diberikan kepada NFC.



Di sidang Dewan Rakyat ini, saya telah bertanyakan mengenai jumlah-jumlah aset yang telah disita dan diambil kembali dari NFC setakat ini. 



Menteri Kewangan menjawab bahawa kedua-dua kondominium di One Menerung, satu plot tanah di Bangi dan satu plot tanah di Putrajaya telah dirampas setakat ini. 



Beliau juga menerangkan bahawa operasi NFC telah dihentikan sepenuhnya sejak akhir tahun lepas.



Pada anggaran saya, nilai harta yang telah disita dari NFC setakat ini adalah sekitar RM18 juta (RM14 juta dari kondominium, RM2 juta setiap plot tanah yang dirampas). 



Setakat Mac 2012, sejumlah RM181 juta telah pun diserahkan kepada NFC seperti jawapan Menteri Kewangan di dalam Dewan pada sidang yang lepas, bermakna dari RM250 juta pinjaman yang diberikan kepada NFC, hanya RM69 juta yang masih lagi boleh ditarik balik oleh kerajaan.



Saya tidak menimbulkan isu ini sebelum ini untuk memberi peluang kepada kerajaan menggunakan sepenuh kuasanya untuk menyita dan mengambil balik setiap aset kekal dan tunai dari NFC dan pengarah-pengarahnya.



Jawapan menteri bahawa hanya sekitar RM18 juta aset yang telah dirampas setakat ini dan keputusan untuk menganugerahkan projek ini kepada satu operator baru tanpa pertanggungjawaban terhadap hutang RM250 juta mengesahkan bahawa kerajaan bakal menghadapi kesukaran untuk mengutip baki dana yang dianggarkan sebanyak RM163 juta.



Ini adalah kerana sebab-sebab berikut:



1.      NFC sudah tidak lagi beroperasi dan bukan lagi sebuah perniagaan going concern. Oleh itu, ia boleh dikira sudah tidak berupaya menanggung hutangnya dan bakal melalui proses muflis.



2.      Sebahagian dari dana itu telah digunakan untuk menanggung perbelanjaan bukan aset, termasuklah gaji, elaun perjalanan dan pelbagai belanja lain yang tidak boleh dikutip kerana tiada aset.



3.      Kerajaan tidak mengenakan jaminan peribadi (personal guarantee) ke atas pengarah-pengarah NFC yang menyebabkan tanggungjawab mereka terbatas kepada pegangan saham mereka di dalam syarikat itu



Saya kesal kerana walaupun kesemua perkara ini telah dibawa ke pengetahuan umum lebih awal, tiada tindakan susulan diambil mengikut desakan yang telah dibuat.



Dalam keadaan sekarang, saya beranggapan bahawa dana RM163 juta yang telah dibelanjakan oleh NFC bolehlah dikira hangus dan tidak dapat dikutip lagi.


harakahdaily/-

Tiada ulasan: