09 Julai 2013

Siapa calon PAS dan BN ?

30 Syaaban 1434 H. [MOD] -
sinarharian.com.my
PRK Dun Kuala Besut
SIAPA calon yang bakal diumumkan untuk mengisi kekosongan kerusi Dun Kuala Besut berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A Rahman Mokhtar sehingga petang semalam, masih menjadi teka-teki.

Pegawai Agama Daerah Dungun, Nik Zuhaiza Ismail, antara calon BN yang menjadi sebutan bakal dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, 24 Julai ini.

Sementara itu, Pas juga tidak kurang hebatnya apabila Bendahari Pas Kawasan Besut,  Azlan Endut@Yusof  dikatakan berada dalam carta tertinggi parti itu untuk dipilih menentang calon BN.


Ahli korporat dari Kampung Baharu, Kuala Besut yang lebih dikenali sebagai Che Long ini dikatakan antara calon yang disenarai pendek oleh parti.

Semuanya masih ternanti-nanti dan menunggu dengan penuh debaran pengumuman calon hari ini.

BN bakal mengumumkan calonnya di Dataran Kuala Besut petang ini, manakala Pas juga akan berbuat demikian pada sebelah malam di Kampung Nail, kira-kira satu kilometer dari lokasi BN.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakan pengundi yang ditemui menyatakan sukar untuk meramalkan siapa yang bakal terpilih sebagai calon pada PRK ini kerana setiap nama yang disebut-sebut sebelum ini mempunyai kelebihan masing-masing.

Penduduk di kawasan Kuala Besut, rata-rata melahirkan rasa gembira sekiranya Nik Zuhaiza dipilih sebagai calon kerana beliau mempunyai latar belakang agama yang tinggi dan senang didekati, selain beliau sendiri ialah anak tempatan.

Peniaga kedai makan di pekan Kuala Besut, Habsah Mohamad, 51, turut mengakui nama yang sering meniti di bibir penduduk di situ ialah Nik Zuhaiza.

“Namun sekiranya beliau tidak terpilih, saya tetap akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan,” katanya.

Selain Nik Zuhaiza, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Dungun, Zahanapi Sagaf juga antara nama yang berada dalam carta teratas sebagai calon.

Beliau dari Kampung Pangkalan Sentul dan menyandang jawatan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Besut, kini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Dungun.

Populariti beliau jelas dapat dirasai di kawasan Mukim Bukit Puteri.

Nik Zuhaiza dan Zahanapi, berada dalam kedudukan teratas carta walaupun segalanya boleh berubah, namun beberapa nama lain juga tidak boleh dijangka, antaranya bekas Jurutera Jabatan Pengairan Saliran Besut, Tengku
Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Mizan, Muhamad Ab Kadir.

Desas desus terbaru juga turut menyebut nama Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim dalam perhatian kerana beliau juga anak jati Kampung Dengir, Kuala Besut

Sementara calon Pas pula, selain Azlan, nama lain yang diramalkan menjadi calon ialah Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Salleh dari Kampung Tok Has, Kuala Besut.

Seorang lagi yang disebut-sebut ialah Ya Yusof dari Kampung Nail dekat pekan Kuala Besut, yang juga ahli perniagaan dan pengusaha  bot nelayan di Kuala Besut.

Seorang penyokong Pas yang ditemui, Mohd Zaidi Said, 34, dari Kampung Beris Pak Abu berkata, dia menyokong sekiranya Pas meletakkan calon muka baru di Dun Kuala Besut terutama Che Long kerana beliau dikenali ramai.

Tiada ulasan: